Libat urus kekal, bukan CSA - Utusan Malaysia

Libat urus kekal, bukan CSA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MENGIKUT Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Bahagian Kedua, Fasal 14 iaitu ‘Badan Perundangan bagi Negeri hendaklah mengandungi Raja dan sebuah Dewan yang dinamakan Dewan Negeri.’

Begitulah uniknya ‘Cara Johor’ sebagai negeri paling selatan di Semenanjung, apatah lagi ketika ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 diadili oleh Speaker dan timbalannya daripada parti lawan meskipun kerajaan negeri diwakili gabungan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Mengulas perkembangan terkini di Johor kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan Jumaat lalu, Menteri Besarnya, DATUK HASNI MOHAMMAD menyentuh beberapa isu. Antaranya soal pembukaan sempadan Johor-Singapura, proses vaksinasi, Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) serta perkembangan politik semasa.

Ikuti temu bual dengan beliau bersama wartawan, ZULKIFLI JALIL dan MUHAMAD AIMY AHMAD serta jurugambar, RAJA JAAFAR ALI di Saujana, Johor Bahru.

 

IKTIRAF PEMBANGKANG RAKAN STRATEGIK

UTUSAN: Apa pandangan terhadap CSA?
HASNI: Kalau tengok dari segi kestabilan politik sebagai prasyarat utama untuk kukuh pelaburan, maka kita lihat CSA sebagai langkah yang boleh ubah landskap politik negara, tetapi saya juga harap itu tak jejas amalan demokrasi berparlimen di mana kewujudan pembangkang sebagai semak dan imbang.

Jangan sampai adanya CSA sehingga kita terlepas pandang untuk laksanakan semak dan imbang dalam tadbir urus negara. Maksudnya kalau jadi kerajaan, perlu jadi kerajaan yang baik, kita perlu jadi kerajaan yang dapat terjemah harapan rakyat. Pembangkang juga sepatutnya pihak yang ada kewibawaan agar dapat sumbang kepada kestabilan. Jadi, mudah kita nak ukur kejayaan sesuatu dasar yang dibuat dan saya juga percaya apa yang berlaku di Dewan Rakyat akan beri kesan kepada DUN-DUN.

Banyak urusan kita adalah sama-sama atau sebahagian komponen untuk perkukuh institusi rakyat.

Saya tak boleh jadikan DUN berasingan apatah lagi bercanggah dengan fungsi dan peranan Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Maka itu segala perkara berkaitan keabsahan pemimpin, perjalanan ketiga-tiga dewan ini perlu seiring, tak boleh kerajaan Pusat kerajaan lain, kerajaan negeri pula kerajaan lain.

Tidak tergugatkah UMNO jika CSA dipraktikkan di Johor?
Kita tidak akan buat CSA. Tapi langkah yang diambil seperti model CSA atau santuni pembangkang yang bertujuan untuk stabil kerajaan dan politik telah lama dipraktikkan. Tetapi Johor tidak perlu sampai tahap tandatangani CSA dengan pembangkang.

Sebaliknya, kita bina persefahaman bahawa kerajaan yang tak stabil boleh beri kesan kepada rakyat dalam bentuk ekonomi. Johor ada satu sahaja majoriti, kalau kita tak rasa pentingnya kestabilan kerajaan, mudah sahaja nak jatuh kerajaan negeri, boleh tukar menteri besar bila-bila masa seperti kita tukar baju.

Kalau di peringkat Pusat, kita lihat CSA sebagai langkah untuk bentuk kerajaan lebih stabil, di Johor kita tidak amalkan CSA tetapi ada beberapa inisiatif selari dengan CSA.

Sebagai contoh, peruntukan kepada pembangkang yang sama jumlah kerana kita berpendapat pembangkang juga dipilih rakyat dan wajar mereka disediakan peruntukan.

Saya juga perlu melihat kepada struktur DUN sendiri kalau perlu tambah jawatankuasa, pilihan kita akan buat. Perkara ini pernah dibincang agar dapat lihat aspek khusus sama ada berkaitan alam sekitar, kesihatan, keselamatan dan lain-lain.

Jawatankuasa khas itu perlu wujud ekoran keadaan semasa sebab dahulu tiada Covid-19, jadi jawatankuasa pilihan libat kesihatan boleh dibentuk bagi melihat sama ada kemudahan kesihatan cukup atau tidak dan adakah seimbang di daerah-daerah.

Berkesankah CSA apabila dilaksanakan?
Harapan saya, apa juga yang kita buat termasuk di Johor kalau boleh sesuatu yang bertahan lama, tidak buat dasar yang ad hoc. Pendekatan itu tak sesuai, banyak perkara kalau kita flip-flop akan beri kesan. Contoh, prosedur operasi standard (SOP) terdahulu yang jadi rungutan di bawah adalah soal kekeliruan tentang pelaksanaannya.

Apa lagi dasar kita nak pegang atau perkenalkan, tak boleh bersifat sementara. CSA yang nak ditandatangani tak boleh sekadar nak hadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sahaja kerana ia akan jadi amalan berterusan. Saya tidak nampak kebaikannya kalau kita buat sesuatu bersifat sementara.

Kita kena hati-hati, saya lebih cenderung kepada libat urus atau kerjasama yang berkekalan. Saya beri peruntukan kepada pembangkang sekarang yang saya harap jika bukan saya menteri besar pun mereka dapat teruskan kerana asasnya ialah semua wakil dipilih oleh rakyat. Duit kita bagi duit rakyat, jadi mereka patut juga terima peruntukan untuk berfungsi sebagai wakil rakyat, itu harap berterusanlah.

Tapi hal-hal lain, misalnya penglibatan pembangkang dalam dewan atau kerajaan, wajar kita tidak ambil keputusan bersifat sementara kerana itu tidak baik untuk jangka panjang. Bagi saya, libat urus berkekalan lebih penting, pastikan apa kita setuju untuk jangka panjang. Bukan sehingga PRU-15 selepas itu cerita lain, mana boleh begitu.

Bagaimana persediaan UMNO di Johor?
Dalam mendepani pelbagai perkara ketika ini, persediaan PRU-15 tetap kita gerakkan juga. Soal parti kita rujuk terlebih dahulu kepada badan induk seperti Majlis Tertinggi (MT) UMNO atau Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dari semasa ke semasa.

Saya berpeluang menyuarakan kepada pucuk pimpinan parti tentang suasana dan keadaan kita di Johor. Jadi, segala tindak tanduk parti, saya rasa tidak akan menjejaskan, tetapi kita kena ambil kira juga soal negeri-negeri.

Bila libat soal sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin misalnya, kita ambil kira soal parti atau kerajaan yang ada di Johor serta negeri-negeri lain macam Perak, Melaka dan Pahang. Memang semua tahu bila sampai masa pilihan raya, kita perlu cari mandat rakyat semula.

Apakah ada bentuk kerjasama lain menghadapi PRU-15?
Parti telah buat keputusan bahawa kita akan tetap guna lambang BN untuk menghadapi pilihan raya. Saya tak akan boleh terima jika UMNO atau BN menggunakan lambang lain.

Kita di Johor sudah jelas apabila kita tetap dengan pendirian menghadapi PRU-15 yang akan datang dengan menggerakkan parti di bawah lambang BN. Malah, kerusi-kerusi menang yang ditandingi BN sebelum ini akan terus ditandingi wakil kita.

Termasuk juga kerusi kita menang tetapi berpindah ke parti lain. Susah kita nak berkompromi soal itu. Mungkin ada perkara-perkara yang saya rasa boleh, tetapi untuk kita tidak pertahankan parti atau tidak menggunakan lambang dacing adalah sukar untuk berlaku di Johor.

18 BULAN SEMPADAN JOHOR-SINGAPURA TUTUP

Apa kepentingan khusus antara Johor dan Singapura?
Pentingnya antara Johor dan Singapura bukan hanya dari segi pekerjaan tetapi juga dari segi ekonomi kedua-dua pihak secara keseluruhan. Dalam konteks ini, tidak dapat kita lari perkara melibatkan bila pembukaan semula sempadan di Tambak Johor dan Linkedua untuk ulang-alik harian boleh dilakukan.

Sebenarnya pelbagai langkah awal kita telah laksanakan seperti memperkenalkan Johor Immunity Planning System (Johor ImmuPlan) yang bertujuan daftar mereka yang berhajat berulang-alik antara Johor ke Singapura. Apabila saya bincang dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini, Khairy Jamaluddin, beliau juga setuju agar kerajaan negeri beri tumpuan kepada mereka yang nak rentas negara supaya diutamakan vaksin.

Kesan hampir dua tahun tutup sempadan?
Kita tengok banyak sektor perniagaan terpaksa tutup kerana sempadan belum dibuka.

Kebergantungan perniagaan-perniagaan kepada pelancong atau rakyat Singapura yang datang ke Johor memang jelas bila sempadan belum dibuka.

Perniagaan seperti kedai automotif, restoran, pasar tani dan sebagainya memang terjejas pendapatan mereka. Sebab dahulunya mereka ada sahaja ramai pelanggan dalam kalangan negara jiran.

Kesan kedua, kita lihat di bandar raya Johor Bahru ramai yang terima dan perlu bantuan makanan. Bukan hanya gelandangan tetapi yang mungkin anggap bantuan itu sebagai satu keadaan baharu di sini. Jadi, yang terlibat ada juga dalam kalangan mereka yang harap dapat kerja semula di Singapura.

Ada indikator atau syarat Singapura tetapkan untuk buka sempadan?
Masa awal berdepan pandemik kita ada persefahaman melalui Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) untuk urusan perniagaan antara Singapura-Johor, kemudian ditambah Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan ramai dari Johor Bahru yang rentas ke Singapura bawah dua program itu.

Kalau kita tidak berdepan kes meningkat mendadak, mungkin kita boleh bincang satu SOP berkaitan Daily Commuting Arrangement (DCA). Namun, terhenti kerana kes yang tinggi dan sebelum ini vaksin kita yang jauh lebih rendah berbanding populasi Johor. Jadi, kalau kita lihat apa yang boleh dibuat segera adalah lihat semula RGL, PCA dan DCA sebagai kaedah untuk mula pembukaan sempadan.

Anggaran masa buka sempadan?
Saya yakin kalau vaksin dibekal mengikut jadual, kita boleh capai jumlah sasaran 80 peratus rakyat Johor. Dan kita sebenarnya boleh mulakan dari sekarang untuk mewujudkan persefahaman dari segi yang dapat suntikan lengkap untuk berulang-alik misalnya.

Kita tahu Singapura menggunakan vaksin jenis Pfizer dan Moderna tetapi kita pelbagai. Jadi, adakah yang dapat Sinovac ini boleh dianggap sebagai penerima vaksin yang dibenarkan rentas sempadan?

Itu perkara yang perlu dibincang, kita belum ada apa-apa garis panduan atau persefahaman (jenis vaksin). Tetapi kita harap apa sahaja vaksin kepada mereka yang perlu lintas negara dibenarkan kerana vaksin-vaksin ini sudah dilulus Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sepatutnya ia jadi asas kita mengiktiraf vaksin.

Keadaan rakyat Malaysia di republik itu?
Sekarang Singapura sudah kurangkan kepada tujuh hari kuarantin dan tak semestinya di hotel, boleh di rumah. Itu boleh mengurangkan kos bagi rakyat kita yang perlu ke Singapura. Di pihak kita masih 14 hari, tetapi dahulunya kuarantin di pusat kuarantin, namun kini boleh di rumah juga bila disahkan negatif.

TIGA INISIATIF PROMOSI PELABURAN

Apa usaha dimainkan untuk pemulihan ekonomi?
Amat penting untuk kerajaan negeri dan Persekutuan perkukuh kerjasama lebih-lebih lagi dalam Iskandar Malaysia, Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di timur dan Pagoh Special Economic Zone (PSEZ) di utara Johor.

Tiga inisiatif secara serantau ini akan menjadi asas kepada usaha mempromosi pelaburan. Jadikan kawasan-kawasan ini lebih menarik, besar kerangka untuk kita lihat agar pelaburan bukan hanya bergantung kepada Singapura atau China tetapi kita boleh lihat juga peluang-peluang dari Timur Tengah dan negara lain.

 

LEBIH RAMAI RAKYAT DIVAKSIN

Bagaimana perkembangan vaksin di Johor?
Usaha kita hendak menguruskan Covid-19 adalah sehingga lebih 50 peratus populasi divaksin. Dalam masa terdekat mungkin boleh capai sasaran 80 peratus. Jadi, perancangan seterusnya kerajaan negeri harus selari kerana selain perlu banyak vaksin, kita juga terima banyak pandangan supaya mereka bawah 18 tahun segera divaksin.

Mulai sekarang perlu susun, sama ada perlu guna kaedah sama iaitu melalui pusat pemberian vaksin (PPV) atau perlu strategi baharu untuk uruskan mereka yang bawah 18 tahun.

Bolehkah capai sasaran mengikut jangkaan?
Keupayaan untuk kita capai sasaran 80 peratus rakyat Johor terima vaksin sekitar Oktober memang boleh capai. Bukan mustahil kerana semakin hari semakin banyak jenis vaksin kita peroleh. Setakat ini kita guna Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca tetapi kita tahu Sinopharm, CanSino juga diberi kelulusan.

Apabila vaksin-vaksin lain berada di pasaran, kita boleh ambil peluang untuk menguruskan endemik ini dengan beri peluang kepada rakyat untuk terima suntikan ketiga atau booster jab yang dapat tingkat tahap kesihatan umum dari segi ancaman endemik.

Apa kaedah pengawalan penularan yang digunakan?
Johor setakat ini mengamalkan ujian pengesanan secara bersasar. Kaedah ini boleh ditambah baik agar lebih berbentuk digital. Apabila kita uruskan ujian bersasar, mudah untuk uruskan aspek-aspek pengurusan lain seperti keupayaan hospital, jumlah katil, bilik rawatan rapi dan Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) bagi Kategori 1 dan 2.

Jadi, ujian yang dibuat di lapangan akan seiring dengan kesiapsiagaan bahagian kesihatan hospital, PKRC dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC). Ketika ini pun kita sudah lakukan secara dalam talian, jadi kesesakan di CAC sudah terkawal dari semasa ke semasa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×