Tiada talian hayat, rakyat menanti - Utusan Malaysia

Tiada talian hayat, rakyat menanti

Khabar angin bertiup kencang mendakwa Ismail Sabri Yaakob bakal melakukan rombakan Kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri. – ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARAPAN, kepercayaan dan keyakinan rakyat merupakan tiga faktor utama dalam menentukan dan memastikan kemenangan serta kekalahan sesebuah pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya.

Justeru, setiap kali tiba masa untuk pembentukan Kabinet baharu selepas pilihan raya umum atau sekiranya ada cakap-cakap mengenai rombakan Kabinet, sudah pasti ia menjadi tumpuan dan perhatian para pelabur dalam dan luar negara, ahli perniagaan, penganalisis politik dan paling utama, rakyat.

Macam-macam spekulasi berterbangan termasuk nama-nama pemimpin tertentu dikaitkan dengan kenaikan pangkat sebagai menteri dan timbalan menteri.

Malah, sekiranya Perdana Menteri baharu mengambil alih kepimpinan negara maka muncul satu lagi percaturan politik yang menjadi pilihannya.

Realitinya, nama pemimpin tertentu pernah tersingkir pada saat akhir disebabkan percaturan politik dan kem politik walaupun pemimpin tersebut terbukti telah berkhidmat dengan baik sebelum ini.

Begitulah perjuangan di medan politik. Segalanya berkisar berkaitan dengan kuasa, jawatan dan pengaruh. Perdana Menteri menguasai penuh pembentukan Kabinet.

Kuasa mutlak, pelantikan, pengguguran dan penyingkiran anggota Kabinet adalah hak penuh Perdana Menteri. Tiada siapa boleh pertikaikan. Senarai nama boleh bertukar dalam sekelip mata.

Namun, pemimpin politik mudah lupa, kuasa politik yang dipegang adalah tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk berkhidmat kepada rakyat. Gelaran Yang Berhormat (YB) pun datang daripada rakyat. Tanpa rakyat, siapalah mereka.

MENDUKACITAKAN

Namun cukup mendu­kacitakan, proses demokrasi di negara kita tercemar mela­lui tiga pertukaran Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Puncanya, perebutan kuasa dan nafsu politik. Implikasinya, fenomena politik jadi tidak menentu, pentadbiran kerajaan tidak stabil dan sektor ekonomi terjejas. Justeru, Kabinet yang dilantik turut runtuh dan lumpuh dua kali dalam tem­poh tiga tahun ini.

Kabinet baharu yang ketiga sejak 2018 baru-baru ini mengangkat sumpah ketika negara berada di satu persimpangan cukup membimbangkan dalam pertarungan melawan Covid-19 dan pergolakan politik yang masih belum stabil.

Tidak dapat dinafikan, sejurus selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pasukan Kabinetnya, pelbagai rupa kecaman, kritikan dan pandangan sinis dilontarkan di media sosial.

Antara komen yang menjadi sohor kini, Kabinet kitar semula, kononnya umpama almari lama dan almari baharu.

Kita boleh buat kesimpulan, rata-rata tidak puas hati kerana tidak banyak perubahan drastik dan hampir 80 peratus muka sama dikekalkan dari era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ramai juga penganalisis, pemerhati politik meletakkan harapan menggunung terhadap pasukan Kabinet Ismail Sabri sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Masing-masing melontarkan hujah dan pandangan yang mahu melihat satu perubahan drastik bagi memastikan dan meraih keyakinan rakyat.

TIADA TALIAN HAYAT

Betul, memang rakyat juga harapkan berlaku sesuatu yang luar biasa. Tapi kita perlu ingat, percaturan Kabinet yang ketiga ini berlaku dalam situasi amat mencabar ketika keadaan politik negara masih tidak menentu, terumbang-ambing dan serangan Covid-19 yang berada di paras membimbangkan khususnya ancaman ketakutan dalam kalangan rakyat berada di suatu paras yang mencemaskan.

Perlu juga kita akui, hala tuju politik ditentukan berdasarkan faktor realiti dan praktikal, tidak semata-mata melalui pembacaan akademik sahaja. Begitulah nasib Ismail Sabri ketika ini. Tiada banyak pilihan, saluran alternatif ataupun talian hayat politik.

Beliau terpaksa mengambil keputusan berdasarkan realiti politik masa kini dan tidak mahu tersepit dengan satu lagi pergolakan ataupun dilema politik yang boleh melumpuhkan ekonomi.

Di satu sudut lain pula, beliau terikat dengan sokongan bersyarat bersama Perikatan Nasional (PN). Ini bukan pemerintahan Barisan Nasional (BN)-UMNO secara mutlak. Ini merupakan gabungan politik dibentuk secara kebetulan atas dasar konsensus sehingga PRU-15.

Walaupun Kabinetnya menerima julukan ‘Kabinet Muhyiddin Yassin 2.0’, tapi itulah hakikatnya. Beliau tidak mempunyai masa yang panjang. Hanya tinggal 21 bulan lagi untuk tempoh Parlimen berakhir.

Beliau terpaksa mengejar masa. Proses pemulihan negara perlu dipercepatkan. Sektor ekonomi perlu digemilangkan semula.

Kesihatan penduduk perlu perhatian segera dengan membina semula jaminan keyakinan rakyat. Pelbagai rintangan dan cabaran menanti Ismail Sabri.

100 PERTAMA

Setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama, kata Ismail Sabri ketika mengumumkan Kabinet baharunya.

Tempoh 100 hari bukanlah sesuatu yang luar biasa. Biasanya setiap hasil kerja seorang Perdana Menteri ataupun menteri baharu akan dinilai dalam tempoh 100 hari. Malah media massa juga sudah biasa melakukan penilaian dan pemerhatian seperti itu sebelum ini.

Saya berpandangan, 100 hari itu memang adil untuk menteri baharu. Bagi menteri kanan dan menteri yang dike­kalkan di kementerian sama, tidak perlu tunggu 100 hari. Mereka bukannya blur pun.

Dalam misi perjuangan kritikal ini, sudah tentu masa itu emas. Seluruh jentera Kabinet perlu bergerak pantas secara terurus dan terancang dengan mengutamakan kesejahteraan, keekonomian, kesihatan dan kemakmuran rakyat.

Lupakan persaingan politik. Ini kalilah demi rakyat, 220 ahli Parlimen bergerak sebagai satu pasukan Keluarga Malaysia demi masa depan negara tercinta.

Wahai para menteriku, kuasa kini di tangan anda. Seiring gagasan Keluarga Malaysia yang diihamkan Perdana Menteri, tunjukkan keputusan gerak kerja anda kepada rakyat dan negara. Andalah benteng utama negara. Jangan sesekali menghampakan harapan rakyat.

Menjelang 100 hari nanti, sama ada Perdana Menteri akan menilai anda atau rakyat sedang menunggu anda. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Selamat bertugas.

DATUK Anbumani Balan ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×