Masa buka kedai bercelaru - Utusan Malaysia

Masa buka kedai bercelaru

Masa operasi pasar raya dan kedai makan patut selaras. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta melihat semula operasi pasar raya yang diarahkan tutup pukul 8 malam sedangkan pe­ngusaha makanan dalam premis tersebut sepatutnya boleh beroperasi sehingga pukul 10 malam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya sudah membangkitkan isu tersebut kepada kerajaan bulan lalu tetapi sehingga kini belum ada maklum balas.
“Kita perlu faham, virus Co­vid-19 merebak tidak mengikut masa. Maka sebetulnya kita ingin tetapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan perintah kawalan pembelian.

“Pengusaha restoran di pasar raya yang terpaksa mengikut waktu operasi tutup pukul 8 malam menyebabkan mereka tidak dapat menghabiskan barang jualan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi sia-sia sahaja peniaga makanan dibenar beroperasi hingga 10 malam tetapi kena tutup pukul 8 malam kerana kerajaan larang pasar raya beroperasi hingga pukul 10 malam,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, kecelaruan masa operasi yang dibenarkan tersebut secara tidak langsung menjejaskan pendapatan peniaga makanan yang mendakwa waktu kemuncak pembelian selalunya antara pukul 8 hingga 10 malam.

“Malah, kalau ditetapkan lebih masa untuk operasi pasar raya, jumlah orang berkunjung dalam satu masa ke premis atau bangunan tersebut tentu berkurangan sekali gus mengurangkan kontak jangkitan. Ini yang sebenarnya diusahakan ketika ini,” katanya.

Terdahulu, prosedur operasi standard (SOP) melalui PPN Fasa 1 terhadap operasi restoran ditetapkan dari pukul 6 pagi hingga 10 malam berbanding sebelum ini pada 8 pagi hingga 8 malam.

Namun, kerajaan masih me­netapkan operasi pasar raya dari pukul 8 pagi hingga 8 malam, berbeza dengan waktu operasi restoran.

Mengulas lanjut, Ameer berkata, pihaknya turut mencadangkan kerajaan supaya memasukkan negeri-negeri di Lembah Klang khususnya Selangor ke PPN Fasa 2 dengan menukar waktu operasi semua pasar raya sehingga pukul 10 malam.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga mencadangkan pembukaan semua sektor untuk beroperasi dan tidak perlu untuk mengasingkan mana-mana sektor yang boleh beroperasi di Fasa 1, 2 dan 3 tetapi lebih pen­ting mengadakan kawalan SOP lebih ketat.“Mungkin kerajaan tidak terfikir sebuah kedai mamak atau gerai boleh berada di dalam pasar raya atau pusat beli-belah. Kesannya restoran terpaksa ditutup disebabkan pasar raya. _ UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×