Lompat: Belajarlah dari sejarah - Utusan Malaysia

Lompat: Belajarlah dari sejarah

KERATAN muka depan Utusan Malaysia bertarikh 4 Mac 2009 mengenai kemelut politik di Perak hingga menyebabkan kerajaan negeri tumbang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA ingin mengulas cadangan penggubalan akta antilompat parti memandangkan isu ini kembali hangat dibangkitkan.

Apa maksud undang-undang antilompat parti?

Ia merujuk kepada satu undang-undang di mana seorang wakil rakyat ditegah atau dilarang meninggalkan partinya untuk melompat ke parti lain. Undang-undang ini menghalang wakil rakyat, bukan ahli politik biasa.

Matlamat utama adalah menghalang wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) meninggalkan parti asalnya untuk menyertai parti lain sama ada untuk mengukuhkan kerajaan atau menggulingkannya.

Adakah undang-undang sedemikian salah?

Ya, memang salah. Apa sahaja undang-undang (akta atau enakmen) yang menghalang seorang warganegara menyertai mana-mana parti politik (atau meninggalkannya) adalah menyalahi Perkara 10 Fasal (1)(c) yang menyatakan semua warganegara berhak menubuhkan satu persatuan.

Hak menubuhkan persatuan termasuklah menyertai persatuan itu dan meninggalkannya. Apa sahaja yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak boleh digugat atau dihilangkan oleh undang-undang Persekutuan atau negeri.

Bagaimana jika dia meneruskannya?

Ya, memang boleh. Pada masa ini belum ada undang-undang melarang atau menghalang.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengatakan, tindakan wakil rakyat selama ini yang melompat parti tidak boleh dihalang kerana perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kenapa ia perlu diwujudkan sekarang?

Kita perlu belajar daripada sejarah. Undang-undang antilompat perlu diwujudkan untuk mengekalkan kestabilan kerajaan memerintah, terutama disebabkan majoriti tipis.

Di Perak pada 2009, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat melompat parti menyebabkan kerajaan negeri tumbang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memohon kepada Sultan Perak untuk membubarkan DUN supaya satu pilihan raya baharu diadakan tetapi baginda enggan berbuat demikian. Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) dengan sokongan tiga ADUN baharu yang melompat parti diperkenankan membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Peristiwa ini mencetuskan krisis perlembagaan sehinggalah Februari 2010 apabila panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan Datuk Seri  Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah.

‘Langkah Sheraton’ dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Pusat memberi kesan kepada kestabilan kerajaan negeri Sabah, apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengumumkan pada Julai 2020 bahawa beliau mempunyai cukup majoriti membentuk kerajaan baharu.

Malang baginya, hasrat itu ditolak Yang Dipertua Negeri, dan akibatnya satu pilihan raya negeri terpaksa diadakan.

Rakyat semua tahu bagaimana malapetaka Covid-19 menular selepas itu ke seluruh negara. Peristiwa ini cukup dijadikan pengajaran betapa perlunya satu undang-undang antilompat diwujudkan.

Kenapa undang-undang antilompat di Kelantan tidak sah?

Perkara ini berlaku dalam kes Nordin Salleh lwn DUN Kelantan 1992. Dalam kes itu, Nordin Salleh dan Wan Najib Wan Mohamed menang dalam pilihan raya 21 Oktober 1990 atas tiket Parti Semangat 46 lalu menjadi ADUN. Selepas itu mereka lompat ke UMNO.

Kerajaan negeri bertindak balas dengan memasukkan satu peruntukan baharu (Perkara XXX1A) ke dalam perlembagaan negeri yang menyatakan jika seorang ADUN berhenti atau dipecat dari partinya, atau atas apa-apa sebab lain tidak lagi menjadi ahli parti, dia hendaklah tidak lagi menjadi ADUN dan kerusinya menjadi kosong.

Pada 3 Julai 1991, DUN Kelantan meluluskan resolusi di bawah Perkara XXX1A itu bahawa Nordin dan Wan Najib tidak lagi menjadi ADUN dan selanjutnya mengisytiharkan kerusi mereka kosong. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan Sungai Pinang dan Limbongan. Nordin dan Wan Najib bertanding bawah tiket BN tetapi kalah.

Kecewa dengan kekalahan itu, mereka kemudian memohon satu deklarasi daripada mahkamah bahawa Perkara XXX1A dalam perlembagan negeri bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu tidak sah dan batal.

Mahkamah Agung kemudian memutuskan Perkara XXX1A adalah bertentangan dengan Perkara 10 Fasal (1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah tidak sah dan batal. Maknanya, perlembagaan negeri tidak boleh menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

 Perlukah usul antilompat parti mendapat sokongan majoriti dua per tiga?

Tidak semestinya. Kita perlu majoriti dua pertiga wakil rakyat di Parlimen sekiranya mahu pinda Perlembagaan Persekutuan. Ia akta Parlimen biasa, oleh itu sokongan majoriti mudah memadai.

Apa kandungan akta antilompat itu?

Akta ini tidak boleh menghalang mana-mana warganegara menyertai atau meninggalkan mana-mana parti kerana itu jelas bertentangan dengan Perkara 10 Fasal (1)(c). Keahlian parti seorang wakil rakyat tidak boleh disentuh, digugat atau dilucutkan semata-mata kerana dia lompat parti.

Apa yang boleh dinyatakan dalam akta itu nanti adalah seperti dilakukan kerajaan Singapura.

Perkara 46(2)(b) Perlembagaan republik itu menyatakan, kerusi seorang ahli Parlimen hendaklah menjadi kosong sekiranya dia tidak lagi menjadi ahli parti yang atas nama parti itu dia bertanding dalam pilihan raya. Peruntukan ini bermakna hak wakil rakyat melompat parti kekal.

Dia boleh lakukannya pada bila-bila masa, tetapi bila ia berlaku, kerusinya menjadi kosong secara automatik. Disebabkan kelayakannya menjadi wakil rakyat tidak hilang, dia masih boleh bertanding apabila pilihan raya kecil diadakan disebabkan kekosongan kerusinya itu.

Dia perlu kembali menda­patkan mandat rakyat kerana sudah tidak ada kerusi lagi dalam Dewan. Ini bermakna dia menghadapi risiko ditolak (dihukum) oleh pengundi kerana mengkhianati janji asalnya kepada mereka dahulu apabila berpaling tadah dari parti asalnya.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×