Resipi bihun goreng udang kering yang dikongsikan oleh Mohd Shukur Hassan menjadi tular kerana beliau menggunakan 12 sudu teh gula. Namun bagi Mohd Shukur, resipi yang dikongsikan ini tidak ada salahnya kerana setelah dimasak, cukup rasa seperti yang diinginkan.
“Hanya letak 12 sudu teh gula. Tetapi ada yang tidak faham dan letak 12 sudu makan gula. Memang manis lah bihun tersebut setelah siap dimasak,” kata Mohd Shukur kepada Utusan Malaysia menjelaskan mengenai kekeliruan yang berlaku apabila ada yang tidak puas hati dengan penggunaan gula yang banyak dalam masakan.
Tujuan utama Mohd Shukur berkongsi resipi ini bukannya mahu berkongsi bahan-bahan yang digunakan untuk memasak bihun kerana setiap orang ada selera masing-masing.
“Bagi saya, rasa ini subjektif bagi diri masing-masing. Saya kongsi resipi turun temurun keluarga saya ini sebab mahu kongsi tips cara memasak bihun agar tidak hancur. Tetapi isu gula pula yang jadi tular,” katanya.
Ujarnya lagi resipi bihun goreng udang kering ini adalah diwarisi daripada Tok Nek beliau yang bernama Som Saad. Resipi bihun goreng udang kering ini paling rare pada zaman tersebut. Penuh aromatik dan resipi yang authentic.
Beliau meniru satu persatu resipi dan cara pembuatan seperti yang dipelajari. Setiap bahan-bahan yang digunakan ada kegunaannya yang utama.
“Dalam pembuatan bihun pada zaman Tok Nek dulu, mereka tidak ada gunakan cili sos dan kicap. Sebaliknya gula, garam, asam jawa memainkan peranan sebagai penyedap dan pelengkap rasa. Ada rasa pedas, manis, masin dan masam.
“Belacan dan udang kering pula digunakan bertujuan membangkitkan aroma tersendiri pada bihun yang dimasak. Manakala kunyit dijadikan sebagai pewarna bagi bihun. Resipi asli orang zaman dulu-dulu,” katanya.
Selamat mencuba.
Resipi bihun goreng udang kering
Bahan-bahan:
1 paket bihun – rendam dalam air biasa (bukan air panas) selama 20 minit
1 paket kecil udang kering
3 biji bawang ros *
2 ulas bawang putih *
4 biji cili kering *
Sedikit belacan bakar *
Asam jawa – lebih kurang saiz duit 20 sen *
12 sudu teh gula
2 sudu teh msg
½ sudu teh (7 kali cedok) garam
½ sudu teh serbuk kunyit*
Cara penyediaan:
1-Bakar belacan terlebih dahulu.
2-Kisar bahan-bahan yang bertanda (*) sehingga hancur. Jangan bubuh air dengan banyak sewaktu mengisar.
3-Goreng udang kering dalam minyak.
4-Apabila agak masak, masukkan bahan-bahan kisar tersebut. Tumis sehingga naik bau.
5-Masukkan perasa. Dan tumis seketika lagi.
6-Apabila nampak pecah minyak, baru masukkan bihun.
7-Kacau sebati bihun. Gunakan api perlahan untuk mendapatkan hasil bihun yang tidak hancur. Biar bihun jadi lembut sendiri. Kalau perlu hanya masukkan sedikit air sahaja.
8-Kalau hendak tahu bihun itu sudah masak dengan elok, anda akan nampak asap di atas permukaan bihun.
Terima kasih : Mohd Shukur Hassan
Facebook : Mohd Shukur Mohd Shukur /https://www.facebook.com/mohdshukur.mohdshukur.79
https://www.facebook.com/groups/matjhn.official/permalink/1417680242023178










