Tiada ribut geomagnetik kecuali fenomena aurora - Utusan Malaysia

Tiada ribut geomagnetik kecuali fenomena aurora

MySA mengesahkan tiada ribut geomagnetik akibat kejadian suar suria terkuat dihasilkan matahari pada akhir bulan lepas. - AGENSI ANGKASA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi Angkasa Malaysia (MySA) mengesahkan tiada ribut geomagnetik akibat kejadian suar suria terkuat dihasilkan matahari pada akhir bulan lepas.

Sebaliknya, insiden yang kecoh ditularkan media antarabangsa minggu lepas hanya menyebabkan fenomena cahaya aurora di kawasan berlatitud tinggi dekat Kutub Utara.

“Insiden suar suria yang berlaku ini didapati langsung tidak mencetuskan pun sebarang ribut geomagnetik di lapisan ionosfera bumi,” katanya menerusi kenyataan dalam laman sosialnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

MySA merujuk laporan Pusat Ramalan Cuaca Angkasa, Pentadbiran Atmosfera dan Kelautan Nasional (NOAA) berpusat di Amerika Syarikat (AS) mengenai kononnya akan ada ribut suria disebabkan pengeluaran plasma dan medan magnet secara besar-besaran dari matahari yang didakwa mampu menjejaskan sistem grid elektrik, satelit dan komunikasi radio.

Mengulas lanjut, MySA memaklumkan, berdasarkan sifat semula jadi kelajuan letusan dan posisi tompok matahari, suar suria itu turut tidak memberikan ancaman pun kepada ruang bumi selain tidak memberi kesan kepada manusia, bahkan penduduk dekat kutub utara berpeluang pula menyaksikan cahaya indah terang atau aurora borealis.

Fenomena sinaran alami itu memang lazim berlaku antara September dan Oktober serta Mac dan April akibat tenaga elektron berlanggar atom di ionosfera pada ketinggian 150 kilometer.

Agensi itu malah menjelaskan, maklumat ini turut disahkan satelit Solar Dynamic Observatory milik Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) yang mencerap matahari yang mana menurut laporan satelit itu, kumpulan tompok matahari AR 2859 iaitu kelas C dikesan pada 20 Ogos diikuti suar suria paling kuat yang dihasilkan AR 2860 iaitu kelas M pada 28 Ogos lalu.

Kejadian suar matahari itu dibahagikan kepada lima kelas iaitu A, B, C, M dan paling dahsyat ialah X yang mampu menyebabkan ribut radiasi serta pelepasan jisim koronal ketara ekstrem.

Sebaliknya, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu merumuskan bahawa insiden ini cuma kelas C yang kurang kesan dan M dengan suar ribut skala sederhana.

Imej kejadian suar suria daripada dua tompokan tersebut bahkan berjaya dirakamkan MySA menerusi teleskop model TMB125 dan kamera jenis SBIG STF-8300C pada 29 Ogos lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini