PETALING JAYA: Generasi muda negara berumur 18 tahun sudah matang, sekali gus bersedia menggunakan hak mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Malah, Malaysia dianggap ketinggalan kerana menjadi antara 11 negara yang belum memberikan hak kepada rakyat berusia 18 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya.
Pada masa ini lebih 160 negara yang mengamalkan sistem demokrasi memilih kerajaan melalui pilihan raya sudah mewujudkan undang-undang memberi hak mengundi kepada golongan berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Politik Dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, generasi muda masa kini sudah matang dalam bidang politik.
Malah, katanya, mereka semakin berani memberikan komen dan pandangan peribadi dalam media sosial seperti Twitter, Facebook dan sebagainya.
“Sudah tiba masanya Undi18 dilaksanakan dan memberi pe-luang kepada mereka untuk mengundi, sekali gus memilih kerajaan dan pemimpin yang mereka mahukan.
“Mungkin dari pandangan masyarakat yang tidak melihat secara menyeluruh akan berkata generasi muda masih mentah dalam ilmu politik, tetapi pada zaman sekarang, generasi muda sudah semakin matang.
“Generasi muda sekarang sudah lain, itu sebab banyak negara telah menurunkan had umur mengundi ke 18 tahun dan Malaysia sebenarnya sudah ketinggalan,” katanya ketika dihubungi semalam.
“Generasi muda sekarang sudah lain, itu sebab banyak negara sudah menurunkan had umur mengundi ke 18 tahun dan Malaysia sebenarnya sudah ketinggalan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuching dalam keputusannya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu yang tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.
Dalam pada itu, Malaysia merupakan salah satu daripada tujuh buah negara yang hanya membenarkan individu berusia 21 tahun ke atas untuk mengundi dan bertanding selain negara-negara seperti Kuwait, Lebanon, Oman, Samoa, Singapura dan Tonga.
Mohd. Azizuddin berkata, apa yang dibimbangi adalah kuasa undi daripada golongan muda tidak dapat dikawal oleh ahli-ahli politik kerana golongan itu ada penilaian tersendiri untuk memilih pemimpin.
“Ketika ini tiada satu parti politik pun yang dapat mengawal undi daripada mereka kerana mereka mempunyai pemikiran yang pelbagai,” jelasnya.
Beliau juga menggesa agar melantik ahli parlimen yang lebih muda bagi menarik minat orang muda untuk keluar mengundi kerana golongan inilah yang akan menerajui negara pada masa akan datang.
“Beri peluang kepada mereka untuk membuktikan bahawa orang muda boleh menerajui negara dan bukannya hanya memandang rendah terhadap mereka,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Malaysia dianggap ketinggalan kerana menjadi antara 11 negara yang belum memberi hak kepada rakyat 18 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya.
Selain Malaysia, negara-negara tersebut adalah Singapura, Samoa, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Tonga, Kuwait, Nauru, Oman, Bahrain, Taiwan dan Cameroon.
Katanya, pada masa ini lebih 160 negara yang mengamalkan sistem demokrasi untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya sudah mewujudkan satu undang-undang memberi hak mengundi kepada golongan itu.
Justeru, kata beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan kerajaan dan SPR supaya membenarkan warganegara 18 hingga 20 tahun kelayakan mengundi dalam pilihan raya amat tepat.
Katanya, keputusan itu bukan sahaja kerana pindaan Perlembagaan Undi 18 sudah pun diluluskan sebulat suara di Parlimen sejak 2019, tetapi yang lebih penting ialah hak mengundi kepada rakyat golongan muda yang mana semua dalam perundangan lain mereka sudah ditakrifkan sebagai orang dewasa. – UTUSAN










