Bermula dengan modal RM400 untuk menjadi pengedar sabun, hari ini Nurul Hassrah Mohd Khori, 30 boleh tersenyum riang apabila mampu menghasilkan sabun jenama sendiri, Dolive menerusi syarikatnya, Fresh Expert Sdn. Bhd.
Tidak setakat itu, sambutan menggalakkan daripada orang ramai turut membolehkan syarikat dibina pada 2019 itu, mampu menghasilkan 50,000 tan sabun pencuci pakaian dalam sebulan. Sebagai perumpamaan, angka itu lebih daripada cukup untuk kegunaan warga Selangor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sewaktu bertemu di pejabatnya terletak di Seri Kembangan, Selangor, Ketua Pengarah Urusan Fresh Expert Sdn. Bhd. itu berkata, syarikat menyediakan ekosistem sistematik supaya wakil jualan dapat berniaga secara telus dan lebih harmoni tanpa bersaing harga sesama sendiri.
“Saya tidak mahu berlaku permainan harga dan wakil penjual dapat berniaga dengan tenang. Sembilan tahun menjadi pengedar, saya arif bermain strategi, termasuklah saban waktu menambahbaik aspek pemasaran, pengurusan kewangan dan kualiti produk serta perkhidmatan pelanggan,” katanya.
Permainan harga bukan isu kecil. Kata Nurul Hassrah, dia pernah memasarkan produk orang lain sehingga berupaya mendapat jualan cemerlang.
Namun kurang berpuas hati kerana syarikat pembekal suka naikkan harga sesuka hati.
“Syarikat seharusnya menambah baik kualiti dan pengurusan serta membimbing usahawan. Bukannya naikkan harga sesuka hati atau tidak mengawal harga. Yang susah nak meniaga ialah wakil jualan, sebab mereka yang berdepan dengan pelanggan. Tidak manis bila pengguna membandingkan harga untuk produk yang sama,” katanya.
Situasi itu, mendorong Nurul Hassrah, memperkenalkan Dolive dengan dibantu suami Mohd Hafiz Arbaee, 34 yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Fresh Expert.
Produk sabun keluaran tempatan itu, mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Selain Malaysia, ia turut berjaya menembusi pasaran Singapura dan Brunei.
Perniagaan melonjak
Tambah Nurul Hassrah, strategi juga sedang dirancang untuk menambah lebih ramai pengedar kepada 3,000 orang pada masa depan dengan 30 stokis utama tempatan dan negara jiran.
Mengenai impak Covid-19, Nurul Hassrah bersyukur kerana ia tidak menjejaskan jualan, sebaliknya melonjak empat kali ganda.
“Sebelum ini sejuta botol sebulan tetapi kini boleh mencapai empat juta botol sebulan,” katanya.
Lori jadi rumah
Mengenai pembabitannya dan suami dalam bidang perniagaan, Nurul Hassrah berkata sebelum menjadi agen sabun pencuci, dia dan suami bertindak sebagai kelindan dan pemandu lori muatan 14 tan.
“Orang ingat saya sengaja suka ikut suami. Tetapi saya bekerja. Jadi kelindan lori bukan tugas yang mudah, kita kena temankan pemandu dan menggantikannya memandu lori jika perlu. Kita bekerja ketika orang lain tidur bermula 4.30 pagi hingga 1.30 pagi keesokan harinya.
“Penat, namun gaji diterima sedikit. Gabungan gaji kami berdua pun tidak cukup untuk membayar sewa sebuah rumah,” katanya sebak.
Menangani masalah membayar sewa rumah, mereka kerap menjadikan lori sebagai rumah. Tiada lori, mereka tinggal dalam kontena belakang rel kereta api atau paling tidak pun menumpang tidur di rumah saudara mara.
“Itu bukanlah kenangan yang menarik, lebih-lebih lagi sewaktu mula mahu membina rumahtangga. Banyak kenangan pahit menginsafkan, namun ia mengajar saya untuk meneruskan hidup dengan mencari sumber kewangan lebih baik. Sampai bila mahu jadi kelindan lori,” ujarnya yang membina perkahwinan pada usia 20 tahun.
Bertitik tolak daripada itu, Nurul Hassrah dibantu suami menjadi pengedar produk pencuci pakaian di sebuah syarikat di Selangor. Mereka memilih tapak ekspo dan tepi pintu masuk pasar raya sebagai lokasi berniaga.
“Saya tebalkan muka mencari pelanggan. Berhujan berpanas termasuklah ketika hamil. Habis pantang pun saya angkut anak sekali. Memang kami cekal sebab sanggup sumbat kereta kancil dengan 50 botol pencuci pakaian 10 liter, berat sampai senget dibuatnya.
“Kesulitan hidup dihadapi membuatkan saya berdoa ” Ya Allah, kau bantulah aku untuk keluar dari kesulitan yang aku hadapi sekarang. Aku nak bantu lebih ramai lagi orang supaya mereka tak rasa apa yang aku rasa kini,” katanya.
Hijrah itu manis
Bercerita tentang latar pendidikan dirinya dan suami, Nurul Hassrah mengakui zaman sekolah menengah, dirinya banyak menyusahkan ibu bapanya kerana tidak bersungguh-sungguh belajar, kerap ponteng dan menghabiskan masa bersosial.
Suaminya juga seorang budak yang degil, selalu ponteng sekolah, berkawan dengan budak-budak yang ‘liar’. Bahkan, pernah ditahan dalam lokap.
Keluarga tulang belakang
Tanpa keluarga dan anak-anak, siapalah Nurul Hassrah. Ibu kepada lima anak ini mengakui perniagaan yang diceburinya itu adalah hasil sokongan suaminya yang tidak lokek berkongsi masa dan tenaga dalam menjayakan perniagaan itu.
“Saya amat bersyukur kerana dianugerahkan keluarga terutama suami yang amat membantu dalam semua urusan.
“Berkat kerjasama itu juga saya berjaya hingga ke tahap ini dan saya juga amat mengharapkan kejayaan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, Nurul Hassrah komited dalam membahagikan masanya sebaik mungkin.
“Saya tidak boleh leka atau buang masa kerana setiap masa saya amat berharga. Baik untuk perniagaan juga untuk keluarga, kedua-duanya memerlukan saya untuk membahagikan masa dengan sebaiknya,” katanya.
Nurul Hassrah, berkata bagi individu ingin menyertai bidang perniagaan, konsisten dan buat sampai jadi antara prinsip perlu ada dalam diri. Bagaikan perumpamaan, genggam bara api, biar sampai jadi arang.










