PONTIAN: Filem Bukit Kepong arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin sering diulang ta-yang menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada setiap tahun, namun, tidak ramai yang tahu di sebalik tabir pembikinan filem yang menceritakan kekejaman komunis itu.
Memandangkan ia adalah kisah benar serangan 180 pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, Jins inginkan pembinaan balai polis yang musnah dibina semula sebelum penggambaran dijalankan.
Salah seorang yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan Balai Polis Bukit Kepong bersama berek kelamin itu ialah Lans Koperal Musa A. Rahim, 65, yang ketika itu bertugas sebagai anggota unit kawalan kawasan (UKK).
Katanya, setelah menamatkan latihan asas di Batalion 9 Kem Polis Hutan Bakri, Muar selama tiga bulan pada 1979, dia telah ditempatkan di Balai Polis Kayu Ara Pasong sebelum diminta untuk ke Bukit Kepong pada tahun 1980.

“Memandangkan filem Bukit Kepong ini mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Hanif Omar, kami anggota UKK dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan telah di-arah untuk membina Balai Polis Bukit Kepong mengikut keadaan asal.
“Bersama kira-kira 37 anggota UKK yang lain, kami telah membina semula balai tersebut di kedudukan asal di tepi Sungai Muar yang mengambil masa tiga bulan bagi menyiapkannya” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Serkat, semalam.
Tambah Musa, memandangkan pada tahun 1980 masih ada saki baki pengganas komunis di kawasan tersebut, kerja-kerja pembinaan perlu berhati-hati dengan kawalan sepenuhnya bagi mengelak serangan hendap.
“Begitu juga semasa penggambaran dilakukan yang mengambil masa hampir setahun, pasukan polis perlu mengawal lokasi bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku kepada pelakon dan kru,” ujarnya yang bersara pada 2011.
Katanya, selain membina Balai Polis Bukit Kepong sebagaimana yang asal, mereka turut membina semula bot yang digunakan oleh anggota balai seperti mana terdapat dalam filem tersebut yang terbakar.
“Kami juga terlibat sebagai pelakon tambahan dalam adegan menyeberangi jambatan yang diletupkan oleh pengganas komunis sebelum anggota polis menyerang tempat persembu-nyian mereka.
“Selepas serangan yang mengorbankan 30 pengganas komunis, serangan dilakukan ke atas Balai Polis Bukit Kepong dengan tujuan untuk membalas dendam ke atas kematian rakan-rakan mereka,” ujarnya sebagaimana yang diberitahu oleh penduduk kampung.
Katanya, walaupun hanya terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir, dia juga dapat merasakan kekejaman pengganas komunis yang telah membunuh semua anggota Balai Polis Bukit Kepong termasuk isteri dan anak-anak mereka.
Jelas Musa, tidak dapat dibayangkan bagaimana 18 anggota Balai Polis Bukit Kepong diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd. Shah yang dilakonkan oleh Jins berhadapan dengan serangan 180 orang pengganas komunis ketika itu. – UTUSAN











