KUALA LUMPUR: Pelawak dan Exco Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Johor, Shahrol Azizie Azmi atau Shahrol Shiro menafikan memasang hajat untuk mengejar sebarang jawatan penting dalam bidang politik sebagaimana yang mungkin dimaksudkan oleh pengarah dan pelakon, Datuk Hans Issac di akaun Instagramnya.
Menurut Shahrol, perkara itu bukan fokus utamanya memandangkan apa yang cuba disampaikan menerusi pandangan berbalas di media sosial masing-masing adalah usaha untuk menghentikan tindakan menyindir kerajaan dan beri peluang kepada barisan Kabinet baharu untuk bekerja.
“Mengarut sangat. Sekarang, ramai rakyat sedang sengsara, tengah susah, tengah ramai hilang kerja. Kita masih lagi nak berbahas pasal pembentukan Kabinet? Berilah ruang dan peluang dulu untuk barisan baru membuktikan kerja mereka.
“Andai kata dalam tempoh 100 hari ini tak nampak hasil atau tak nampak agenda yang dibawa, nak hentam, hentamlah dengan segala hujah anda.
“Tak ada isu saya nak kejar mana-mana jawatan pun macam yang Hans katakan ‘tak lari gunung dikejar’. Malah saya siap berseloroh, di Kluang Johor ini saja dah ada dua gunung iaitu Gunung Lambak dan Gunung Lumut. Barang kali dia yang nak kejar gunung,” katanya.
Shahrol berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini bagi mengulas mengenai ‘perbalahan’ mengenai isu politik yang berlaku antaranya dengan Hans Issac di media sosial masing-masing sejak beberapa hari lalu.
Ia berpunca daripada tindakan Hans yang memuat naik sebuah video penceramah terkenal, Allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadzil yang mendakwa dalam jenaka bahawa pemilihan menteri dibuat hanya semudah bertanyakan soalan sifir dua darab dua.
Video yang dikongsikan oleh Hans dengan kapsyen bertulis ‘beri pendapat anda’ itu telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 50,000 dan bagi Shahrol, Hans mempunyai niat untuk menunjukkan video tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selain itu, menurut Shahrol, dia juga tidak menghentam Allahyarham penceramah berkenaan menerusi video tersebut namun hairan mengapa Hans memilih untuk memuat naik video itu sejurus selepas pembentukan Kabinet baharu diumumkan.
“Saya tahu pasal Allahyarham yang meninggal dunia 31 Ogos lalu. Tetapi menerusi video yang dikongsikan, matlamat Hans adalah menyindir barisan Kabinet baru. Kita faham orang kata ini ialah Kabinet kitar semula dan saya juga baca ulasan dia di Instagram.
“Tak rasa kelakarkah, dia ada 365 hari dalam setahun, tetapi memilih untuk berkongsikan video tersebut pada hari barisan Kabinet diumumkan. Perkara itu sangat menjengkelkan. Sepatutnya kita fokus pada masalah rakyat. Sampai bila sindir-menyindir tentang kerajaan bertukar ini nak habis?
“Saya tak goyang pun. Saya juga tidak totok sesiapa. Apa yang utama sekarang ialah rakyat pada hari ini. Biar rakyat tengok dan nilai sendiri. Kita terus bantu dan buat kerja kita,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada hubungannya sebagai rakan seindustri mungkin terjejas kerana perbezaan pendapat dalam bidang politik, Shahrol melahirkan keyakinan bahawa dirinya profesional.
“Saya tak ada masalah dan profesional. Kalau ada penggambaran bersama atau bertemu di mana-mana acara atau majlis pun selepas ini, rasanya tak ada masalah.
“Boleh saja duduk bercakap. Tapi, mungkin perkara itu tidak berlaku sekarang lah memandangkan situasi semasa sekarang, pandemik, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya. Dia tinggal di ibu kota manakala saya pula di Kluang, Johor,” katanya. – UTUSAN










