BPMB peruntuk RM1.1 juta biasiswa - Utusan Malaysia

BPMB peruntuk RM1.1 juta biasiswa

MAJLIS penyampaian biasiswa BPMB secara maya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) mengumumkan empat penerima biasiswa di bawah program Anugerah Biasiswa Siswazah 2021 anjurannya..

Menurut BPMB, biasiswa bernilai kira-kira RM1.1 juta setahun untuk tempoh tiga tahun itu diberikan kepada pelajar cemerlang yang akan mengikuti pengajian peringkat siswa di universiti luar negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, pihaknya mahu membangunkan bakat kepemimpinan masa hadapan dengan mengenal pasti bakat-bakat tersebut sejak peringkat pendidikan tertiari.

“Saya sangat kagum dengan penerima biasiswa kami tahun ini. Bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, mereka juga menunjukkan kualiti kepemimpinan yang baik pada usia yang masih muda.

“Saya mengalu-alukan penerima biasiswa kami untuk merebut peluang ini untuk menyusun perjalanan mereka dan bersedia untuk memimpin dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Penyampaian biasiswa tersebut diadakan secara maya dengan dirasmikan oleh Pengerusi BPMB, Datuk Seri Nazir Razak dan dihadiri Arshad bersama pasukan pengurusan kanan BPMB.

Empat penerima tersebut merupakan N. Kaartik, 21, yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer; Irfan Qureshi Mohamad Aslam, 19 (Sains Komputer); Aimi Nabilah Baharudin, 21 (Sains Aktuari) dan Audra Qistina Azli, 19 (Undang-Undang).

Menurut BPMB, setakat ini bank itu telah menganugerahkan lebih RM6 juta biasiswa kepada 13 pelajar cemerlang Malaysia.

Sejajar dengan komitmennya ke arah agenda kemampanan, anugerah yang dimulakan sejak 2013 itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat bank itu.

“Misi utama inisiatif ini adalah untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses pelajar cemerlang Malaysia yang layak melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×