"Apa pun situasi, usah ketepikan agama" - Zizan Razak - Utusan Malaysia

“Apa pun situasi, usah ketepikan agama” – Zizan Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LELAKI ini mengaku, bahawa ini adalah pertama kali dirinya diaju pertanyaan sebegini dalam hidupnya.

Pertanyaan yang dilayangkan mudah namun isi tersiratnya cukup berat. Ia tentang sebuah perubahan dalam pengertian mencari diri seiring hasrat untuk menjadi insan yang tidak mahu kerugian atau sia-sia dalam hidup.

Dalam serak suara di setiap bait bicara, Zizan tenang meluahkan rasa sambil mengaku bahawa sebenarnya, tiada apa yang berubah pada dirinya sebagai seorang individu meski mungkin ada yang melihat perbezaan itu.

“Bila berbicara mengenai perubahan yang baik, sebenarnya saya masih sama macam dulu. Tak pernah tinggal. Cuma orang tahu atau tidak sahajalah sebab saya percaya, cukuplah amal ibadah saya hanya Allah SWT yang tahu.

“Sebelum ini pun, kalau saya buat baik atau tak baik, hanya Allah SWT yang tahu. Cuma mungkinlah saya tak pernah muat naik di media sosial sebelum ini, contohnya dalam urusan buat amal.

“Pada saya, tak kisahlah sebelum atau selepas. Janji apa kebaikan yang saya buat itu adalah kerana Allah SWT. Bukan sekadar nak tunjuk-tunjuk buat berubah atau apa. Segala yang baik, datang daripada-Nya, yang buruk itu daripada kita sendiri. Tak ada yang berubah, sama saja saya ini,”katanya.

Menyingkap lubuk hatinya lagi sama ada perubahan yang baik itu dilakukan kerana usahanya mencari diri atau kerana melihat keadaan sekeliling, Zizan bagaimanapun tidak meletakkan noktah pada mana-mana pilihan.

Yang dia tahu, cuma ingin menjadi baik dan melakukan kebaikan selagi punya waktu dan nyawa yang dipinjamkan oleh Tuhan ini.

“Akhir-akhir ini pula, macam-macam perkara yang berlaku. Covid-19 misalnya. Banyak orang terjejas dan berlaku kes kematian, sensitif untuk disentuh isu ini. Saya kongsikan di media sosial untuk menyampaikan mesej yang baik.

“Menerusi aktiviti seperti itu, ia tidak cuma lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT. Tetapi juga dengan masyarakat. Saya cuba suntik semangat bahawa dalam keadaan susah sekarang, kita ada antara satu sama lain,” katanya.

Mengaitkan dengan situasi semasa, Zizan sama seperti kebanyakan orang lain yang merasa risau dan khuatir dengan keadaan yang menimpa negara, masyarakat terutama orang-orang Islam.

Jiwanya cenderung memikirkan apa lagi yang boleh dilakukan bagi membantu saudara Islam dan masyarakat lain namun sedar, dalam apa juga keadaan, sebagai seorang Muslim, agama adalah cara terbaik untuk menjadi rujukan.

“Saya buat baik atau berubah baik, bukan untuk diri sendiri tetapi juga demi orang sekeliling. Di samping saya ada platform, ada rezeki dan kedudukan yang ada sekarang, mungkin ini adalah satu cara untuk saya memberi semula kepada masyarakat.

“Apa yang boleh saya kongsi, saya kongsi menerusi aktiviti amal yang dibuat. Adakala, orang tak mahu duit atau sumbangan makanan sangat pun. Adakalanya mereka akan mudah tersenyum dan berlapang dada dengan kesusahan yang ditanggung walau kita cuma bertanya khabar,” katanya.

Mengusik pandangannya mengenai sebilangan rakan-rakan terdekat dan seindustri yang kini juga cenderung berubah ke arah kebaikan dan mula mendalami agama, Zizan akui, perkara itu semestinya sesuatu yang sangat positif.

Bagaimanapun dia tidak suka meletakkan hukuman mudah apabila melihat pada zaman lampau seseorang itu kerana semua itu adalah pilihan masing-masing.

“Berubah atau tidak, mereka sendiri lebih tahu apa yang mereka mahu. Pada saya, ia sangat bagus sebab sebagai umat Islam, kita sentiasa perlu ingatkan diri sendiri bahawa jangan sesekali meletakkan agama ke tepi.

“Tak kisahlah sama ada kita nak popular di media sosialkah, nak duduk di Londonkah, nak jadi ahli politik, nak jadi apa sekali pun. Dalam apa juga situasi, sentiasalah berpegang pada prinsip dan keutamaan kepada agama,”katanya.

Bagaimanapun, kata pelakon, pelawak dan pengacara popular ini, dia tidak menolak mungkin ada sesetengah orang pernah bergelut dengan percaturan yang salah. Misalnya, kurang didikan agama, tidak cukup ilmu pengetahuan dan sebagainya dalam bab yang satu ini.

“Ada segelintir yang menganggap kalau sentuh bab agama ini, macam satu bab yang lapuk. Maklumlah, sekarang ini zaman serba moden. Dalam aspek berhibur misalnya. Bukanlah tak boleh berhibur, tetapi sebagai Muslim, berpada-padalah.

“Macam nak pergi konsert artis kesayangan, katakanlah konsert Beyonce. Bukan tak boleh berhibur, tapi berpada-padalah jangan sampai kita ketepikan aspek agama. Apa pun yang kita buat, letakkan dalam ingatan bahawa malaikat akan selalu mencatat segala kelakuan dan amalan kita,”katanya.

‘The Next Bachelor’

Sementara itu, melihat kepada usianya yang kini sudah menjengah ke angka 38 tahun, Zizan sebagaimana yang semua tahu tidak pernah terlepas daripada soalan sampai bila mahu membujang.

Malah perkara itu juga seringkali menjadi topik perbualan rakan-rakan artis yang rapat dengannya andai berpeluang mengadakan sesi live di Instagram

Bukan untuk mengenakan, atau sekadar menyakat.

Tetapi dapat dirasakan emosi masing-masing yang mana sebagai sahabat, mereka ingin sekali melihat Zizan melangkah ke gerbang perkahwinan sehingga ada menganggap dia adalah ‘The Next Bachelor’.

“Saya tak tahulah ada gelaran seperti itu. Tapi apa yang saya nampak jelas, mungkin orang perhatikan saya sebab terhibur bila saya buat live. Mungkin ketika ini ramai yang stres sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya pula tak ada cerita baru melainkan filem-filem atau program lama yang ditayangkan di TV.

“Mungkin mereka tengok saya di media sosial sebab itu saja saluran yang ada. Kalau pasal kahwin, dari dulu lagi orang selalu tanya.

“Saya tahu, ramai yang sayang, ramai yang prihatin. Baguslah macam itu. Ada rezeki, ada jodoh saya akan kahwin,”katanya.

Ditanya sama ada dia sebenarnya meletakkan hasrat untuk berkahwin itu di tepi kerana menganggap masih belum cukup berbakti dengan keluarga, Zizan tidak menolak akan perkara tersebut.

Baginya, sebagai anak, adalah tanggungjawabnya untuk membahagiakan keluarga selain mengaku ada beberapa tugas lain yang masih belum terlaksana untuk keluarga.

“Keutamaan kepada keluarga dahulu selain beberapa kerjaya. Sebenarnya, saya percaya dalam bab jodoh ini, andai ia datang, ia pasti akan dipermudahkan.

“Tapi tak tahulah macam mana nak cakap. Buat masa ini memang saya sangat relaks. Bukan tak ada perasaan untuk berkahwin. Tetapi inilah yang saya rasakan sekarang.
“InsyaAllah, saya akan berusaha untuk soal kahwin itu. Suatu hari nanti,”katanya.

Berubah maka tinggalkan dunia hiburan?

Selain itu, menurut Zizan, dia juga sedar seringkali seseorang artis itu dilihat berubah ke arah jalan yang lebih baik, maka seringkali itu jugalah akan disangka bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan.

Maklumlah, dunia hiburan ini bagi rata-rata orang, tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan mengajak kepada kelalaian dan dipandang lagha.

Pun begitu, kata Zizan, perkara itu tidak pernah berlaku pada dirinya kerana jalan kebaikan tidak semestinya tidak boleh dilakukan sepanjang bergelar artis atau selebriti.

Malah sejak berkecimpung dalam industri, meski dia terlihat gila-gila dan suka berjenaka, dari aspek kerja, dia sebenarnya sangat memilih dan ada prinsip tertentu.

“Kalau tengok pada kerja, tak ada lagi cerita atau lakonan saya berpeluk dengan perempuan. Kalau pun cara percakapan saya kasar dalam filem-filem tertentu, tapi selebihnya saya lebih banyak fokus kepada lawak lakonan dan mesej yang disampaikan menerusi skrip lakonan itu.

“Hal ini sama ada orang sedar atau tidak juga yang saya ini begini. Dalam hiburan ini, sebagai artis, ini kerja kita dan kita pilih apa yang kita nak buat, sampaikan dan kongsikan. Kalau berlakon watak ganas tapi hujung-hujung ada pengajaran, rasanya tak ada masalah.

“Kalau seratus peratus fokusnya kepada maksiat, itu salah kita sendirilah. Tapi semua ini bergantung kepada niat. Jangan sekadar hiburan tapi tak ada mesej. Benda begini, kalau kita ikhlas buat kerja, tahu apa mesej yang disampaikan, segala kerja kita buat akan jadi positif. Allah SWt akan berkati dan rezeki kita pun Dia akan beri lebih, InsyaAllah,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×