Senarai Kabinet diumum hari ini - Utusan Malaysia

Senarai Kabinet diumum hari ini

PELANTIKAN Perdana Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pertimbangan Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seminggu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini akan mengumumkan senarai Kabinet lengkap beliau pada pukul 11 pagi ini.

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri ke sembilan Sabtu lalu, setelah mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan akan berlangsung pada pukul 2.30 petang, 30 Ogos ini dengan liputan pengumuman hanya melibatkan media rasmi.

Semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang hampir dua jam.

Sesi menghadap tersebut kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ketika sesi menghadap itu, baginda berkenan menerima persembahan senarai anggota jemaah Kabinet baharu Ismail Sabri.

Namun, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan bahawa Ismail Sabri tidak akan membuat sebarang pengumuman selepas selesai menghadap Agong semalam, sebaliknya membuat keputusan untuk mengumumkannya hari ini.

Pembentukan barisan jemaah Kabinet baharu boleh dianggap paling mencabar ketika ini, apabila Ismail Sabri berdepan dengan tindakan beberapa pemimpin dan parti yang melobi untuk mendapatkan jawatan dalam Kabinet.

Namun sehari sebelum menghadap Agong, Ismail Sabri membuat kejutan apabila mengadakan pertemuan dengan pembangkang dan mencapai persetujuan mengetepikan persengketaan, sebaliknya fokus kepada kestabilan negara dengan sasaran utama menangani krisis pandemik Covid-19 demi kesejahteraan rakyat.

Malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkrompomi menyokong usaha kerajaan dan berjanji tidak akan menyulitkan soal undi percaya sekiranya kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri meng utamakan rakyat dalam setiap polisi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×