Bagi RM2 sebulan kepada pusat tahfiz - Utusan Malaysia

Bagi RM2 sebulan kepada pusat tahfiz

MAJORITI pusat tahfiz bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai untuk menampung perbelanjaan operasi asas harian. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laporan Utusan Malaysia, Rabu lalu tentang ‘nazaknya’ pusat-pusat tahfiz di seluruh negara perlu diberi perhatian oleh umat Islam. Dianggarkan 140 pusat tahfiz ‘gulung tikar’ atau menutup ope­rasi kerana tidak mampu menampung kos pengurusan kesan pandemik Covid-19 yang menular sejak setahun lalu.

Bendahari Agung Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata), Datuk Adnan Hashim berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 10 peratus daripada 1,400 pusat tahfiz yang berdaftar dengan persatuan tersebut.

Menurutnya, ekoran penutupan tersebut, sejumlah 1,120 tenaga pengajar hilang pendapatan manakala lebih 7,000 pelajar terjejas.

“Sekarang anggaran sekitar 140 pusat tahfiz tutup dan jumlah itu dijangka meningkat ekoran kantung kewangan pusat-pusat tahfiz semakin kronik.

“Diharap kerajaan melakukan sesuatu untuk membantu pengurusan tahfiz bangkit semula,” kata beliau.

Ini berlaku kerana majoriti pusat tahfiz bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai untuk menampung perbelanjaan operasi asas harian, termasuklah gaji tenaga pengajar dan kos-kos pengurusan lain.

Apa yang dibimbangkan, masa depan institusi yang selama ini melahirkan generasi berkualiti, berakhlak dan berilmu bakal gelap jika situasi sekarang tidak diatasi.

Malah, lebih 10,000 atau 50 peratus pusat tahfiz di seluruh negara tercicir dalam pengajian ekoran pelaksanaan tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Gabungan Persatuan Institut Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) pula terdapat kira-kira 1,603 pusat tahfiz dengan jumlah 24,045 pelajar di Malaysia.

Hukum mempunyai huffaz adalah fardu kifayah. Kita bersyukur kerana selama ini, tanggungjawab itu terlepas daripada bebanan individu dengan adanya institusi tahfiz di seluruh negara.

Sememangnya pandemik ini memberi kesan kepada semua pihak termasuk kesan ekonomi. Ia tentunya lebih berat bagi guru-guru yang bertugas sepenuh masa di pusat-pusat tahfiz dan bergantung kepada pekerjaan itu sebagai sumber utama pendapatan.

Realitinya, sebelum pandemik Covid-19 pun, ada pusat tahfiz yang dibebani masalah kewangan. Antara sebab utama, ada ibu bapa yang tidak menjelaskan yuran bulanan pengajian anak masing-masing.

IKHLAS JADI SANDARAN

Alasan popular mereka, dalam bab menuntut ilmu agama dan mengaji al-Quran ini, tak perlulah dikenakan yuran. Patutnya, ustaz-ustaz tu ikhlas berkhidmat sahaja. Sebab itu, ada ibu bapa yang hanya bayar yuran kali pertama dan terakhir semasa mendaftarkan anak ke pusat tahfiz.

Namun demikian, tidak dinafikan, ada golongan ibu bapa yang benar-benar tidak mampu membayar yuran. Tetapi, hajat mereka mahu melihat anak-anak dididik sebagai hammalatul quran atau hafiz al-Quran.

Inilah ironinya terutama bagi pusat-pusat tahfiz persendirian. Dalam keadaan biasa di mana sektor ekonomi bebas digerakkan, masalah ini mungkin dapat diatasi dengan sumbangan dermawan yang prihatin.

Bagaimanapun, apabila pandemik berlarutan masuk dua tahun, tidak mustahil bantuan yang disalurkan ke pusat tahfiz sebelum ini terpaksa dikongsi dengan sektor-sektor lain. Sebabnya, makin ramai yang terkesan termasuk yang kehilangan pekerjaan disebabkan Covid-19.

Pada 7 Julai lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menjangkakan lebih tujuh juta rakyat bakal kehilangan pekerjaan susulan penutupan operasi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akibat PKP.

“Penutupan sektor PKS juga bermaksud lebih daripada tujuh juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan dan sekiranya setiap pekerja mempunyai dua tanggungan, seramai 14 juta individu akan terkesan dengan situasi ini,” kata kenyataan itu.

AL-QURAN

Kita sedia maklum tentang keutamaan belajar dan mengajarkan al-Quran. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya. (Riwayat al-Bukhari)

Jadi, inilah masanya kita sama-sama membantu dan menyumbang bagi memastikan institusi tahfiz dan juga pengajian agama terus beroperasi.

Sejarah menunjukkan kehadiran pedagang dari Cina, Arab dan India ke nusantara pada awal abad ke-14 telah mempelopori usaha penyebaran Islam melalui institusi pendidikan pondok dan institusi madrasah.

Ia kemudiannya berkembang luas ke merata jajahan takluk kesultanan Melayu seperti di Melaka, Riau, Brunei, Kedah, Kelantan dan lain-lain (Zainal, 2007).

Pengajian al-Quran menjadi institusi pendidikan yang penting ketika itu. Pada peringkat awal, rumah dijadikan lokasi belajar dan mengajar al-Quran. Ia secara tidak langsung telah menjadikan ’sekolah Islam’ yang pertama. (Hassan Langgulung, 1986).

Jumlah penduduk Malaysia pada 2021 dianggarkan 32.7 juta dan jika 60 peratus daripadanya adalah Islam ia adalah kira-kira 19 juta.

Daripada jumlah itu, jika hanya lapan juta umat Islam menyumbang RM2 sebulan, kita sudah mengumpul RM16 juta sebulan. Dalam setahun kita boleh kumpul RM192 juta.

Bayangkan jumlah bantuan yang boleh dimanfaatkan kepada institusi tahfiz yang memerlukan. Bukan pusat tahfiz saja yang mendapat manfaat, malah ia boleh disalurkan kepada institusi pendidikan Islam lain termasuk pusat-pusat pengajian pondok dalam negara.

Untuk menyelas bantuan, boleh diwujudkan yayasan yang dianggotai oleh para pemegang amanah. Ia pula mesti terbuka kepada audit oleh kerajaan.

Dengan sumbangan yang kecil itu, sekurang-kurangnya kita dapat membantu melahirkan para huffaz dalam negara. Sementelah kita tidak mampu atau berpeluang menjadi hafiz al-Quran.

Bagi mereka yang menyumbang secara terus kepada pusat tahfiz tertentu, sila teruskan. Yang disyorkan ini bertujuan memastikan kita istiqamah membantu walaupun dengan jumlah paling minimum.

Jika itu pun tak mampu kita lakukan, di manakah maruah kita sebagai umat Islam berbanding kaum Cina yang sanggup mengeluarkan wang sendiri membangunkan sekolah vernakular mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×