Prinsip parti kuasai kerajaan tidak sesuai ketika ini - Utusan Malaysia

Prinsip parti kuasai kerajaan tidak sesuai ketika ini

KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembentukan Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangkakan tidak banyak perubahan besar kerana wujudnya keperluan untuk memastikan kesinambungan dalam dasar-dasar kerajaan sebelum ini.

Pelantikan anggota Kabinet perlu dipertimbangkan semasak-masaknya bagi memenuhi matlamat memastikan kerajaan Ismail Sabri dapat bertahan selama mungkin dengan mengekalkan sokongan 114 ahli Parlimen yang diperolehnya kerana penarikan balik sokongan tiga ahli Parlimen sahaja akan menyebabkan kerajaan beliau berkubur.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, selaku sebuah kerajaan yang memiliki majoriti tipis serta atas sifat Ismail Sabri sendiri yang konsultatif dan tidak konfrontatif, pastilah beliau akan merujuk kepada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengenai apa-apa perubahan yang hendak dilakukan.

Dalam situasi itu, beliau turut menjangkakan Ismail Sabri berhadapan dengan tekanan daripada pimpinan parti beliau sendiri, iaitu UMNO, untuk mengisi slot parti itu di dalam Kabinet mengikut nama-nama pemimpin yang diputuskan Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Katanya, atas dasar prinsip ‘parti menguasai kerajaan’ seperti yang biasa diamalkan UMNO sebelum ini, adalah berkemungkinan UMNO mendesak Ismail Sabri mengisi slot UMNO di dalam Kabinet dengan pemimpin-pemimpin kanan dalam parti.

“Nama-nama ini mungkin sahaja akan dimasukkan seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; dua lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta ahli-ahli MT yang lain.

“Ini mungkin akan mendatangkan dilema kepada Ismail Sabri kerana kebanyakan ahli MT UMNO datang daripada mereka yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) manakala mereka yang menang, termasuk bekas menteri-menteri sebelum ini, tiada jawatan dalam MT,” katanya di sini semalam.

Menurut Kamarul Zaman, bekas menteri-menteri UMNO atau ahli-ahli Parlimen biasa yang kuat menyokong Ismail Sabri sebelum ini, walaupun mereka tiada jawatan tinggi di dalam parti, namun rata-ratanya agak sukar untuk beliau ketepikan dalam barisan Kabinet beliau.

Sebagai contoh, katanya, Tan Sri Annuar Musa yang tiada jawatan tinggi lagi di dalam parti setelah tidak lagi menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung BN, tetapi berprestasi tinggi selaku Menteri Wilayah Persekutuan dan menyokong kuat Ismail Sabri.

Kata beliau, begitu juga dengan Khairy Jamaluddin yang tiada jawatan tinggi di dalam parti setelah tewas merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan pada 2018 tetapi berprestasi tinggi selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta diperlukan untuk kesinambungan.

“Sebab itulah saya berpandangan bahawa prinsip ‘parti menguasai kerajaan’ tidak boleh diamalkan sepenuhnya dalam keadaan abnormal seperti sekarang di mana Ismail Sabri seharusnya diberikan prerogatif untuk menentukan sendiri senarai Kabinet dari partinya.

“Ini amat penting bagi membolehkan Ismail Sabri dapat memastikan bahawa Kabinet beliau akan dapat mendukung pendekatan Keluarga Malaysia, prinsip kebersamaan dan tekad bekerja bersama rakyat yang beliau umumkan dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam konteks antara parti pula, Ismail Sabri sedang berhadapan dengan desakan daripada parti-parti yang menyokong beliau supaya memberikan jawatan tertentu kepada pemimpin parti mereka, termasuklah PN dan GPS yang menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Justeru, katanya, satu penyelesaian yang mungkin beliau boleh ambil ialah dengan mewujudkan lebih daripada satu jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi mengakomodasi semua tuntutan tersebut atau meniadakan terus jawatan ini dan memberikan jawatan Menteri Kanan kepada mereka.

“Namun, bagi saya jawatan Timbalan Perdana Menteri diperlukan, kerana ia akan menyelesaikan banyak masalah, jika tidak berisi maka banyak permasalahan lain akan timbul yang berpotensi untuk menggugat kelangsungan atau keutuhan kerajaan,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×