PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengiktiraf peranan ahli parlimen pembangkang supaya dapat menggembleng tenaga dalam usaha bersama bagi membantu rakyat.
Dalam kenyataan media bersama, Majlis Presiden PH berharap wujud beberapa reformasi dalam kerajaan yang memberi keutamaan kepada beberapa aspek penting termasuk wabak Covid-19, krisis ekonomi dan kemelut politik.
“Reformasi institusi dengan memperkasa Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuh fungsi semak imbang Parlimen, serta mengiktiraf peranan Pembangkang dengan benar-benar dilibatkan dalam usaha dan ikhtiar Kerajaan.
“Selain itu, pihak pembangkang turut mengharapkan ada reformasi perundangan termasuk dengan melaksana Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti. Memandangkan kerajaan terdahulu yang dipimpin mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal menangani pelbagai masalah termasuk isu Covid-19,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan media tersebut dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
PH berpandangan bahawa perdana menteri wajar memberikan pertimbangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan di atas demi rakyat dan negara.
Bagi memastikan kerajaan dapat mengawal pandemik Covid-19 dengan baik, Majlis Presiden PH menggesa supaya kerajaan menggunakan formula yang betul supaya dapat mengenal pasti pesakit Covid-19 sekaligus dapat merendahkan kadar penularan wabak itu.
“PH telah menggariskan dasar reformasi termasuklah penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara (MPN) dengan memastikan program saringan ujian awam “FTTIS+V” (find, test, trace, isolate and support plus vaccinate) dilaksana dan memastikan sokongan tambahan diberi kepada sistem kesihatan awam.
“Reformasi fiskal dengan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan, serta melaksanakan program moratorium pinjaman bank tanpa faedah demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian adalah salah satu penambahbaikan yang diharapkan,” katanya. – UTUSAN











