PETALING JAYA: Keabsahan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu ditentukan di Dewan Rakyat.
Malah sokongan majoriti terhadap Ismail Sabri juga tidak perlu dibuat menerusi undi percaya bagi mengabsahkan jawatan beliau.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, jawatan seseorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri sah apabila Yang di-Pertuan Agong yakin seseorang itu mendapat sokongan majoriti, melantiknya dan diadakan istiadat mengangkat sumpah.
Sehubungan itu, katanya, tidak timbul sebarang isu selepas pelantikan tersebut kerana sah daripada segi undang-undang dan mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(2).
“Bagaimanapun keabsahan tersebut perlu ditentukan di Parlimen pada kali ini ekoran titah Seri Paduka Baginda yang mahu Perdana Menteri dilantik dikemukakan segera usul undi di Dewan Rakyat untuk menentukan keabsahan jawatannya.
“Namun dari segi Perlembagaan Persekutuan keabsahan PM tidak perlu dan daripada segi undang-undang pelantikan Ismail Sabri adalah sah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Salleh Buang berkata, usul undi percaya atau tidak percaya di Parlimen sekadar menjawab kemungkinan dan majoriti ahli Dewan Rakyat yang dilantik.

“Ini bermakna kalau tiada titah, beliau (Ismail Sabri) boleh terus buat kerja. Cuma sekarang ada titah. Jadi tindakan itu adalah untuk menghormati titah Agong.
“Selain itu, tidak ada salahnya Istana guna kebijaksanaan dalam lompat parti ini agar ia dapat disahkan ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Maka ahli Parlimen akan rasa senang hati peranan mereka (sama ada sokong atau tidak),” jelasnya.
Bagi Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri.

“Tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya dan ia adalah amalan atau adat Perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.
“Pelantikan Perdana Menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya berlakunya upacara menandatangani surat acara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan,” jelasnya di sini semalam. – UTUSAN










