Barisan Kabinet bakal dibentuk perlu ada pengalaman, kepakaran
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus melantik barisan kabinet yang berkelayakan dan mampu memberikan kerjasama yang baik agar usaha kerajaan memulihkan ekonomi dalam keadaan getir ini dapat dipermudahkan.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, barisan Kabinet yang bakal dibentuk juga perlu cepat bertindak dan mempunyai pengalaman serta kepakaran bagi menerajui setiap kementerian.
“Mereka sepatutnya tampil dengan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengimbangi pembukaan ekonomi seterusnya menangani krisis kesihatan yang telah berterusan hampir dua tahun ini.
“Sebagai contoh, kerajaan boleh membuka sedikit demi sedikit sektor ekonomi mengikut peratusan kadar vaksinasi yang tercapai, namun dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang diperkemas serta mudah diikuti oleh rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Aimi Zulhazmi menegaskan, kerajaan juga perlu membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) secepat mungkin untuk memberikan arah tuju pembangunan negara dari sekarang hingga 10 tahun lagi.
“Rancangan tersebut perlu disesuaikan dengan kesan pandemik serta menggarap pelan ekonomi digital yang lebih mantap. Ini penting kerana menjadi penunjuk aras kepada para pelabur asing, tempatan mahupun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya dapat disesuaikan dengan pelan perniagaan masing-masing.
“Antara yang penting adalah polisi menarik pelaburan asing, pensrukturan sistem cukai negara, menekankan industri yang lebih cenderung kepada IR4.0, mengurangkan sektor pembuatan kos rendah dan mementingkan sektor pembuatan reka bentuk, kajian dan teknologi.
“Selain itu, kita perlu mempunyai kekuatan politik untuk mengurangkan pengambilan buruh asing dan mendorong penggunaan teknologi moden,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan dicadang melakukan penambahbaikan kepada program pemulihan negara membabitkan pakej-pakej rangsangan seperti Program Subsidi Upah, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium sehingga keadaan ekonomi rakyat kembali pulih.
“Penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah seperti mengadakan program lebih bersifat memberi ‘joran’ untuk memancing dan bukan hanya memberikan ‘ikan.’
“Kerajaan juga perlu memikirkan bagaimana pula pembiayaan program-program bantuan apabila hutang negara terus naik dan defisit perbelanjaan turut bertambah,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd. Halim Husin berharap kerajaan dapat meneruskan serta menambah baik perancangan bagi membantu perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam mendepani cabaran pandemik ini.
Jelasnya, ini kerana perancangan tersebut telah diluluskan dan boleh dilaksanakan secepat mungkin sekiranya tiada sebarang halangan.
“Sebagai contoh, kerajaan perlu meneruskan pembaharuan (pindaan sekali lagi) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) kerana ketika ini ia menetapkan kadar had (nilai ambang) hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan adalah RM100,000.
“Jumlah tersebut amat sedikit bagi seorang peniaga tambahan pula dalam keadaan sukar ini. Oleh itu, DPMM mencadangkan akta tersebut dinaikkan kepada RM500,000 hingga RM1 juta.
“Perkara itu juga telah dipersetujui Perdana Menteri terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau telah berjanji untuk membentangkannya di Parlimen,” ujarnya. – UTUSAN










