KUALA LUMPUR : Pelakon, Sherie Merlis, 48, mengaku buntu dalam memikirkan situasi mendesak di mana kebarangkalian ahli keluarganya yang lain dijangkiti Covid-19 sangat tinggi setelah adik perempuannya disahkan positif wabak tersebut.
Kata Sherie, ini berikutan adiknya itu telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), namun pada masa sama, keadaan di rumah pula sesak dengan ahli keluarga yang lain.
“Rumah ini cuma ada dua bilik dengan 11 orang ahli keluarga termasuk ibu, bapa dan enam kanak-kanak. Lebih merisaukan, adik perempuan saya ada bayi berusia 10 bulan.
“Tiga hari lepas adik saya demam, dia ada pergi ke klinik kerajaan dan disahkan positif Covid-19. Namun yang peliknya mereka suruh dia balik rumah yang turut dihuni ahli keluarga lain.
“Saya buntu dan tak tahu nak buat macam mana lagi dah dengan keadaan saya serta ahli keluarga lain sekarang,” katanya.
Menurut Sherie lagi, ibu bapanya yang menetap di rumah sama juga sedang menghidap penyakit kronik dengan keadaan ibunya sakit terlantar di katil.
“Di rumah ini juga ada bapa saya yang sakit jantung manakala ibu saya mengidap Alzheimer dan terlantar atas katil.
“Dan sekarang ada antara ahli keluarga saya kini sudah mula mengadu sakit tekak, demam panas dan sebagainya dan dijangkiti Covid,” katanya.
Bagaimanapun, usahanya untuk mendapatkan bantuan KKM tidak berhasil apabila tindakan susulan dan keputusan untuk ke pusat kuarantin cuma akan dimaklumkan esok.
“Saya hubungi KKM dan mereka janji untuk datang secepat mungkin untuk ujian calitan tetapi masih tiada. Mereka beritahu kena tunggu sampai Isnin. Memang tak masuk akal.
“Bila adik saya kena tunggu saya dah risau, sekurang-kurangnya KKM perlu maklumkan pada saya perkara yang perlu dilakukan dalam situasi ketika ini,” katanya.
Cuma dirinya sahaja yang masih lagi sihat, namun Sherie tidak menolak teramat bimbang sekiranya dia juga turut tumbang dan tidak dapat menguruskan keluarga dengan kudratnya.
“Tolong saya, selain KKM siapa lagi boleh tolong kuarantinkan adik saya dan bayinya sebab anaknya masih menyusu. Tolonglah, saya tak tahu apa nak buat.
“Nak marah saya marahlah, sebab ini kenyataan. Kalau saya sakit siapa nak jaga budak-budak dan ibu bapa saya dalam rumah ini? Tolonglah bantu saya,” katanya.










