Minat mendalam terhadap dunia kreatif membawanya berkarya dalam rekaan fesyen untuk lelaki.
Lakaran karier dalam dunia fesyen bermula apabila dia menghasilkan busana lelaki untuk pereka tempatan tersohor Tom Abang Saufi Homme pada 2004.
Pengalaman itu juga akhirnya yang menjadi detik kembara Pereka Fesyen, Andy Sulaiman, 54 untuk tampil dengan jenama sendiri – Andy Sulaiman.
“Bila berkarya, saya cenderung memikirkan idea dan inspirasi. Sama ada pakaian itu boleh dijual atau praktikal digayakan sebagai pakaian harian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Gemar bermain dengan rona alam, Andy berkata warna itu selamat digayakan jejaka ke banyak acara. Karya beliau boleh dilihat di www.andysulaiman.com dan Hotel Four Seasons Place, Kuala Lumpur.
Berbicara mengenai aspirasinya dalam fesyen, beliau gemar memetik kata-kata Bill Cunningham, berbunyi “Fesyen adalah perisai untuk bertahan dari realiti kehidupan seharian,”.
“Saya hidup dengan kata-kata ini untuk inspirasi. Saya sentiasa meletakkan diri dalam situasi orang lain dan bertanya-tanya bagaimana saya dapat membuat perbezaan dalam kehidupan mereka. Saya percaya, saya adalah people-designer, menghasilkan produk praktikal untuk setiap individu. Dan itu terus memberi inspirasi kepada saya,” kata Penerima Anugerah Kostum Terbaik di Festival Filem Malaysia 2019 untuk filem seram Dukun ini.
PERSAINGAN ITU CABARAN
Anak jati Sarawak ini memberitahu, berdepan dengan persaingan adalah lumrah. Justeru dalam setiap rekaan, dia akan meletakkan semua karyanya sebagai berkualiti dan cantik di badan pelanggan.
“Saya suka idea membeli dan kemudian menyimpannya. Pelanggan mungkin tidak akan memakainya selalu, tetapi disebabkan sesuatu rekaan itu berkualiti, terbit rasa sayang hendak membuangnya. Lebih daripada itu, saya percaya setiap orang harus berpeluang memakai pakaian berkualiti, bukan sekadar beli dan buang bila sudah tidak berkenan,” kata lulusan bidang perniagaan dari sebuah universiti di San Fransisco, AS ini.
SELESA FAKTOR UTAMA
Saban tahun Andy Sulaiman akan menghasilkan dua koleksi utama dan beberapa koleksi kapsul.
Biarpun, koleksinya tidaklah begitu menturuti trend, beliau sebaliknya lebih selesa dengan karya yang klasik dan kasual.
“Fokus utama saya ialah selesa dengan potongan yang fleksibel. Untuk satu persalinan pun, ia boleh dipakai untuk acara formal atau santai. Kata pepatah, alah membeli menang memakai,” katanya.










