Berpolitik dalam era pandemik - Utusan Malaysia

Berpolitik dalam era pandemik

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berpolitik dalam era pandemik memerlukan ketangkasan dan kebijaksanaan ahli politik kerana jika cara lama berpolitik masih diamalkan, maka tidak lama jangka hayat ahli politik berkenaan. Ungkapan berbentuk nasihat yang sering dilaungkan ketika ini ialah seseorang itu perlu menjalani proses upskilling dan reskilling, iaitu menambah kemahiran demi berhadapan dengan kesan pandemik.

Tidak terkecuali kedua-dua proses ini perlu dilalui oleh ahli politik jua. Perhati sahaja tindak tanduk Menteri Kesihatan United Kingdom, Matt Hancock yang terpaksa meletakkan jawatan apabila terbongkar beliau ingkar prosedur operasi standard (SOP) pandemik, iaitu penja­rakan fizikal pada Jun lalu. Insiden ini tercetus apabila Hancock didapati berkelakuan intim dengan pegawai khas beliau di dalam pejabat.

Perlakuan intim langsung tidak dipedulikan rakyat Britain tetapi tekanan ingkar SOP telah memaksa Hancock letak jawatan. Jika tiada pandemik, sudah pasti isu intim dengan pegawai beliau menjadi berita hangat.

Jika tiada pandemik besar, kemungkinan jua dunia akan menyaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump buat penggal kedua. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Trump termasuk merahsiakan bahaya virus pada peringkat awal telah membolehkan pencabarnya, Joe Biden mengatasi Trump dalam Pilihan Raya Presiden 2020. Malah penasihat kanan Biden, Anita Dunn dikhabarkan pernah berkata, “Covid-19 adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada Biden.”

Jika di Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa letak jawatan kerana dituduh gagal menangani pandemik, tetapi kes beliau bukan sesuatu yang unik kerana telah banyak menimpa pemimpin-pemimpin lain. Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte; Tunisia, Elyes Fakhfakh; Mongolia, Khurelsukh Ukhnaa; Slovakia, Igor Matovic; Stefan Lofven dari Sweden dan mungkin senarai pemimpin seperti ini bakal bertambah terutama sekali dengan kemunculan pelbagai bentuk varian virus Covid-19.

Jika senarai menteri Kabinet seperti yang telah menimpa Hancock diambil kira, senarai ini akan menjadi begitu panjang. Bukan sahaja karier ahli politik terkait dengan isu pandemik tetapi institusi tempat mereka melunaskan tanggung jawab, iaitu Parlimen juga terbabit dengan hal pandemik ini.

Sebanyak 32 ahli Parlimen Republik Demokratik Congo mati apabila kesemua mereka dijangkiti virus Covid-19. Rupa-rupanya jangkitan itu berlaku ketika mereka bersidang dalam Parlimen. Walaupun terdapat SOP ketat, sebahagian besar ahli Parlimen Congo ini culas dalam akur hasrat SOP.

KUNG FLU

Tidak kurang jua ada pemimpin yang oportunis bijak mencuri peluang pandemik demi kepentingan agenda politik masing-masing. Kerajaan Samoa pimpinan Perdana Menteri, Tuila’epa Sa’ilele Malielegaoi telah meluluskan beberapa rang undang-undang berkait perlembagaan dan badan kehakiman tanpa melalui proses semak dan imbang daripada pihak umum dengan menggunakan alasan pandemik yang menidakkan peluang rakyat Samoa memberi pendapat mereka.

Akhirnya ketika pilihan raya April 2021, parti pimpinan Malielegaoi ditolak oleh rakyat Samoa. Tidak dinafikan juga Trump bijak menggunakan isu pandemik untuk kepentingan politik beliau dalam kalangan penyokong tegar. Trump sering mensabitkan kesalahan tersebarnya virus Covid-19 di AS kepada China dengan melabelkan virus itu sebagai Wuhan dan Kung Flu sehingga memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melabelkan virus itu sebagai Covid-19.

Strategi Trump kini diguna pakai pula oleh Gabenor Florida, Ron DeSantis dan Gabenor Texas, Greg Abbott dalam hal pemakaian pelitup muka untuk semua murid apabila sekolah dibuka semula bulan hadapan. DeSantis dan Abbott membantah arahan kerajaan persekutuan pimpinan Joe Biden kerana menurut DeSantis, senyuman kanak-kanak tidak harus disem­bunyikan dengan pelitup muka walaupun terserlah jumlah jangkitan yang melanda kanak-kanak bawah 12 tahun mening­kat dengan mendadak akibat varian Delta.

Sikap semberono DeSantis dan Abbott walaupun pelik dan janggal kerana mempertaruhkan nyawa kanak-kanak, diterima oleh penyokong masing-masing kerana ini dianggap sebagai tentangan terhadap Biden.

Pandemik juga mempamerkan sikap hipokrasi beberapa pemimpin tertinggi negara luar.

Bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam ketika kerajaan beliau menegah rakyat Israel merayakan hari Passover Seder, keluarga bukan isi rumah beliau berkumpul merayakan hari tersebut. Begitu juga dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin adalah seorang pemimpin yang jarang sekali mengenakan pelitup muka bila muncul di khalayak ramai sedangkan beliau sendiri menghendaki rakyat Rusia patuh SOP pandemik.

Tetapi paling jelik ialah sikap hipokrasi seperti yang dipamerkan oleh Trump yang sering menyeru rakyat AS supaya tidak gentar dengan virus pandemik. Apabila Trump didapati positif Covid-19 pada 2019, beliau telah mendapat rawatan yang terbaik termasuk diberi ubat antibiotik Monoclonal yang tidak mampu diperoleh orang biasa kerana harganya begitu mahal.

Serupa jua dengan penyokog tegar Trump, iaitu Abbott walaupun menentang penggunaan pelitup muka, beliau sebagai gabenor diuji setiap hari dengan virus Covid-19 yang mana kemudahan seperti ini tiada pada penduduk Texas. Bila Abbot didapati positif Covid-19 beberapa hari lalu, seperti Trump, beliau diberi Monoclonal.

Mungkin tidak wujud pemimpin Malaysia yang mirip Trump, Putin, DeSantis atau Abbot kerana hakikatnya jika ada, maka pemimpin sedemikian rupa sudah pasti akan dihukum di peti undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti (PRU-15).

PENULIS ialah penganalisis politik dan geostrategis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×