FENOMENA dan percaturan kuasa parti-parti politik yang berlaku di Malaysia dalam setahun dua ini mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri atau kerajaan yang mempunyai majoriti kecil.
Keadaan politik negara sejak 1 Mac 2020 di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalami cabaran tidak berkesudahan.
Masalah kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO telah nampak sejak awal enam bulan pertama lagi.
UMNO dan Bersatu seolah-olah bersaing dalam sebuah kapal sama. Kocakan semakin terasa yang akhirnya minggu kedua Ogos lalu percakaran sukar dileraikan apabila seramai 15 ahli Parlimen yang menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi keluar daripada kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.
Berasaskan kepada peruntukan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin akhirnya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Dari 16 Ogos lalu, bermulalah satu proses semula bagi memilih Perdana Menteri baharu menggantikan Muhyiddin. Dengan struktur bilangan ahli Parlimen hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah sukar bagi mana-mana pihak mendapat kemenangan besar dengan bilangan ahli Parlimen bagi kedua-dua pihak, sama ada Pakatan Harapan (PH) atau PN.
Secara kasarnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili PH dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili PN.
Inilah dua calon yang bakal menjadi Perdana Menteri baharu dalam masa terdekat ini.
Hakikat sebenar kita tidak dapat pastikan siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dalam pelantikan Perdana Menteri. Yang pasti majoriti yang diperoleh adalah kecil.
Perjalanan politik dan pemerintahan berasaskan majoriti kecil akan menghadapi risiko besar. Kehilangan sedikit sahaja sokongan ahli Parlimen akan terus memberi kesan kepada Perdana Menteri yang berkuasa.
Apakah keadaan ini akan berterusan dalam politik Malaysia? Bilakah akan berakhir dan bagaimana keadaan yang lebih baik dan stabil akan terbentuk serta mungkin berlaku?
Sukar dijawab dalam keadaan normal dengan struktur politik kepartian Malaysia yang ada sekarang.
Ahli Parlimen daripada pihak lawan sukar untuk memberikan sokongan kepada pihak yang satu lagi.
Sebagai contoh, ahli Parlimen DAP dan PKR sukar secara aturan normal untuk memberi sokongan kepada PN.
IDEOLOGI
Jika ini boleh berlaku dan benar-benar berlaku, akan membina majoriti besar kepada PN yang memungkinkan terbentuknya majoriti yang lebih besar yang memungkinkan terbentuknya kestabilan politik yang lebih baik. Garis pemisah ideologi politik masih tebal dalam politik Malaysia setakat ini.
Jadi rumusan mudah yang dapat kita katakan bahawa mana-mana pihak dan individu yang bakal menjadi Perdana Menteri dalam masa terdekat ini hanya dengan sokongan dan majoriti kecil.
Kerajaan yang berkuasa tidaklah sekuat mana, manakala pihak pembangkang yang gagal membentuk kerajaan tidaklah lemah. Proses meluluskan sesuatu usul di Dewan Rakyat tidaklah melalui satu proses yang begitu mudah.
Bagaimana kekuatan boleh dibina dalam keadaan kerajaan yang berkuasa dengan majoriti kecil?
Sekiranya jalan mudah boleh berlaku dengan mendapatkan sokongan daripada pihak pembangkang, maka ini dapat mengukuhkan pihak kerajaan. Dalam keadaan sekarang adalah sukar ahli Parlimen PH akan memberikan sokongan kepada PN.
Dalam keadaan ini, ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perlu diberikan kekuatan ‘menyokong’ tanpa berbelah bagi.
Penarikan sokongan perlu dielakkan dan perlu ada kaedah pencegahan yang betul-betul keras dan berkesan. Nasihat dan agenda pengukuhan dan kesedaran akan peri pentingnya ketaatan kepada kerajaan perlu lebih kerap diadakan.
Semangat roh negarawan dan membina negara perlu selalu diterapkan. Ahli Parlimen bukan hanya sekadar ahli politik. Ini boleh dilakukan bagi kepentingan jangka pendek menjelang PRU-15.
Perancangan jangka panjang juga perlu dirangka. Sebagai kerajaan PN yang berteraskan bumiputera dan Melayu-Islam (tanpa mengetepikan kaum-kaum lain) kerangka yang boleh menarik sokongan semula secara menyeluruh bumiputera Melayu-Islam kepada parti-parti Melayu-Islam perlu dilakukan mulai sekarang.
Sebagai contoh, peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu diperkukuhkan semula, yang kelihatan ‘pudar’ dan seakan-akan ‘diketepikan’ sejak tahun-tahun akhir sebelum PRU-14, di bawah dasar 1Malaysia.
Persoalan seperti biasiswa kepada anak-anak Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perjawatan awam dan peluang-peluang ekonomi seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam peruntukan 153 itu perlu ditafsir dan diamalkan semula dengan lebih tepat dan berkesan.
Persoalan biasiswa kepada mahasiswa Melayu-bumiputera seakan-akan nampak kecil, tetapi isu ini memberikan kesan yang cukup besar bagi menarik semula sokongan generasi muda Melayu kepada kerajaan.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) harus difikirkan dengan sedalam-dalamnya dan perlu digantikan dengan biasiswa penuh kepada pelajar Melayu-bumiputera.
Begitulah juga dengan persoalan perjawatan awam dan peluang-peluang ekonomi. Pemahaman yang lebih mendalam kepada semua ahli Parlimen, khususnya kepada mereka yang menjadi menteri dan timbalan menteri adalah sangat perlu.
Kedudukan fenomena majoriti kecil tidak seharusnya kekal dalam politik dan pentadbiran negara Malaysia. Dalam PRU akan datang, para pengundi mesti membuat keputusan yang tepat dan berani kepada pihak mana undi mereka akan diberikan.
Pihak yang menang, perlu menang dengan majoriti yang lebih selamat sekurang-kurangnya 140 daripada 222 kerusi. Kedudukan 115-105 dan seumpamanya adalah bukan sebuah kedudukan kerajaan-pembangkang yang baik.
Pengundi harus bijak membuat keputusan dan kerajaan yang dipilih perlu benar-benar amanah, jujur dan ikhlas.
Semoga kestabilan politik negara akan terbentuk semula. Stabilnya politik, kesan positif adalah pasti kepada pertumbuhan ekonomi serta keharmonian sosial.
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).










