Perlu jaga tepi kain orang - Utusan Malaysia

Perlu jaga tepi kain orang

AKTA Kanak-Kanak 2001 bukan sahaja terpakai kepada kanak-kanak tetapi sesiapa yang mempunyai tanggungjawab memelihara atau menjaga mereka. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“IKTIRAFKAN bahawa kanak-kanak, untuk perkembangan yang sempurna dan harmoni bagi personalitinya, harus membesar dalam persekitaran kekeluargaan, dalam suasana bahagia, kasih sayang dan persefahaman.” – Mukadimah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Malaysia tidak terkecuali dalam menunjukkan komitmen memelihara dan menjamin hak kanak-kanak berdasarkan perimeter Perlembagaan Persekutuan.

Tidak cukup itu, pelbagai dasar berkenaan dengan kanak-kanak telah digubal untuk menentukan hala tuju negara bagi menunjukkan langkah dalam pemeliharaan hak kanak-kanak. Antaranya, Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak.

Dasar-dasar ini menjadi pandu arah kepada Malaysia dalam memastikan ekosistem yang baik dapat dicanai untuk menjamin kebajikan kanak-kanak.

Takrifan kanak-kanak juga adalah jelas, iaitu mereka yang berumur di bawah 18 tahun menurut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Banyak perlindungan yang diberikan oleh undang-undang kepada kanak-kanak.

Menerusi Akta 611 ini, undang-undang menggariskan beberapa perkara penting mengenai kanak-kanak seperti mahkamah untuk kanak- kanak, penjagaan sementara kanak-kanak dan larangan terhadap pemerdagangan dan penculikan kanak-kanak.

Barangkali masyarakat terlepas pandang bahawa Akta 611 ini juga ada menyatakan kesalahan tentang kesihatan dan kebajikan kanak-kanak.

Misalnya Seksyen 31 Akta 611 menggariskan adalah menjadi satu kesalahan ke atas seseorang penjaga untuk menganiayai, mengabaikan atau memberikan layanan buruk kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka yang boleh mendatangkan kecederaan emosi mahupun fizikal, bahkan untuk membenarkan pengabaian terhadap kanak-kanak sekalipun.

Ia juga adalah satu kesalahan sekiranya berlaku penderaan secara seksual atau membenarkan penderaan tersebut berlaku.

Sekiranya disabitkan, pelaku boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 31 Akta 611 tersebut adalah terpakai kepada pihak yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak. Ini bermakna bukan sahaja kepada ibu bapa tetapi juga kepada sesiapa yang mempunyai tanggungjawab memelihara atau menjaga kanak-kanak tersebut.

Ini termasuklah keadaan di rumah jagaan, pengasuh waima dalam kenderaan di mana kanak-kanak tersebut berada. Keselamatan kanak-kanak adalah diutamakan.

Namun, mutakhir ini negara dikejutkan dengan insiden pengabaian kebajikan kanak-kanak termasuklah penderaan.

Ada antaranya berlaku di dalam keluarga sendiri dan ada juga berlaku di pusat-pusat jagaan.

Sebagaimana yang pernah dilaporkan, Januari sehingga April tahun ini mencatatkan sebanyak 2,040 kes penderaan terhadap kanak-kanak.

Angka ini sebenarnya cukup untuk mengaktifkan deria waspada kita sebagai ahli masyarakat yang bertamadun.

DADAH

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pada 2019 sebanyak 6,061 kes penderaan fizikal direkodkan manakala 2018 sebanyak 5,578 kes. Masalah kewangan, dadah dan mental merupakan faktor utama berlaku penganiayaan terhadap kanak-kanak ini.

Mungkin ramai yang tidak sedar, setiap ahli masyarakat khususnya mereka yang berada dekat dengan kanak-kanak mempunyai kewajiban untuk melaporkan sebarang penganiayaan atau penderaan kepada pihak berkuasa.

Kegagalan melaporkan adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan. Di bawah Seksyen 27 Akta 611, seorang pegawai atau pengamal perubatan yang memeriksa atau merawat seorang kanak-kanak berkewajiban untuk melaporkan kepada seorang pelindung atau pegawai polis jika dia mendapati wujud alasan munasabah mengesyaki kanak-kanak sudah dicederakan.

Di bawah Seksyen 29, kewajiban yang sama terpakai kepada pengasuh kanak-kanak. Sedangkan di bawah Seksyen 28 Akta 611 pula meletakkan kewajiban melaporkan ke atas anggota keluarga yang mempercayai atas alasan-alasan munasabah bahawa seseorang kanak-kanak telah dicederakan.

Di bawah Seksyen 2, anggota keluarga kanak-kanak itu ditakrifkan termasuklah ibu atau bapa atau penjaga atau seseorang anggota keluarga lain yang merupakan seorang anggota rumah.

Setiap orang juga berkewajiban memberikan kerjasama kepada seorang pelindung atau pihak polis termasuklah menyalurkan maklumat dan memberikan akses kepada pihak berkuasa dalam proses memberikan perlindungan kepada mana-mana kanak-kanak.

Kewajiban ini seperti tertakluk di bawah Seksyen 115 Akta 611. Kegagalan mematuhi kewajiban ini adalah apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Tuntasnya, selain mekanisme undang-undang, ahli masyarakat harus mengambil berat isu kebajikan kanak-kanak. Pihak berkuasa seperti polis tidak boleh bertindak sekiranya tiada aduan.

Inilah masanya kita sebagai ahli masyarakat menjaga tepi kain orang lain bagi memastikan tiada lagi kanak-kanak yang dianiayai. Kegagalan dalam bertindak pantas boleh mendatangkan kesan buruk kepada kanak-kanak tersebut baik dari segi fizikal mahupun psikologi.

Inilah masanya kita bertindak.

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×