Mangsa tembak mati dikepung empat kenderaan - Polis

Mangsa tembak mati dikepung empat kenderaan

TOYOTA Hilux yang terbakar digunakan suspek dalam insiden tembakan di hadapan pondok keselamatan kediaman mangsa di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat kenderaan tiba-tiba mengepung Range Rover dinaiki seorang lelaki yang mati ditembak dalam kejadian di hadapan pondok keselamatan kediaman mangsa di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh semalam.

Semakan ke atas mangsa berusia 42 tahun yang mempunyai enam rekod jenayah itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, kejadian berdarah itu berlaku kira-kira 50 hingga 100 dari pondok pengawal.

Kata sumber itu, pengawal keselamatan sempat mencatat nombor plat kenderaan yang mengepung Range Rover tersebut tetapi semakan mendapati semua nombor digunakan palsu.

“Polis menemukan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dibakar kira-kira 1.5 kilometer (km) dari tempat kejadian.

“Hilux terbabit adalah kenderaan curi bersangkut kes Klang pada tahun lalu dan ia salah satu kenderaan yang digunakan suspek dalam insiden tembakan terbabit,” kata sumber itu.

Mengenai mangsa, sumber memberitahu, lelaki itu pernah dicari polis berkaitan kes di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) namun dikatakan bersembunyi di Thailand pada 2018 sebelum kembali semula ke Malaysia pada 2019.

“Sebaik kembali ke Malaysia, mangsa dipercayai tidak aktif dalam apa-apa kegiatan jenayah sebaliknya dipercayai bergerak aktif di dalam satu parti politik.

“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan perkara itu kerana siasatan masih berjalan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu sidang akhbar semalam mengesahkan mangsa mempunyai enam rekod jenayah.

Bagaimanapun, menurut beliau, nama mangsa tiada dalam senarai yang dikehendaki polis.

“Polis masih menyiasat berkenaan dengan penglibatan kes-kes sehingga mungkin menyebabkan berlaku tembak mati.

“Mangsa tiada rekod ‘dikehendaki’, tetapi kita pernah cari dia dahulu, sekarang ini tak ada. Rekod jenayah mangsa melibatkan kes samun dan ugutan jenayah,” kata beliau,

Semalam Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki dipercayai ‘orang kuat’ sebuah kumpulan gangster maut selepas terkena empat das tembakan dilepaskan oleh suspek yang menyerangnya dalam kejadian di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa dikatakan ditembak sebanyak empat das tembakan di badan oleh individu tidak dikenali semasa memandu kenderaan jenis Range Rover berwarna merah.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 petang.

Sehubungan itu kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×