Tiada lagi alasan untuk UMNO tolak PN - Utusan Malaysia

Tiada lagi alasan untuk UMNO tolak PN

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Perdana Menteri kelmarin, tidak ada alasan lagi untuk UMNO tidak bersama dalam Perikatan Nasional (PN) dan membentuk semula kerajaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, sebelum ini, segelintir pemimpin UMNO tidak senang dengan Tan Sri Muhyiddin tetapi kini halangan itu sudah tiada.

“Matlamat kita penyatuan ummah bersama UMNO dan Bersatu namun ditakdirkan berlaku pertembungan di antara UMNO dan Bersatu yang menyekat usaha ke arah itu (penya­tuan) dengan pemerintahan selama 17 bulan (kerajaan PN) berakhir.

“Ada sebahagian pemimpin UMNO memahami mengenai penyatuan ini dan menyokong PN manakala ada segelintir lagi menolak Muhyiddin. Apabila Muhyiddin sudah meletak jawatan tidak ada lagi alasan untuk tolak penyatuan ini,” katanya.

Hashim berkata, Pas terbuka menerima siapa sahaja dalam kalangan pemimpin parti itu, UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dicalonkan sebagai Perdana Menteri asalkan bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Jelasnya, Pas terus istiqamah mempertahankan kerjasama dengan UMNO dan Bersatu demi penyatuan ummah meskipun terdapat sedikit halangan.

Semalam, akhbar ini melaporkan, parti-parti politik kini berusaha membentuk jajaran baharu selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difahamkan, tiga parti politik utama sibuk mengadakan mesyuarat ‘siang malam’ bagi menetapkan calon-calon yang sesuai bagi mengisi jawatan Perdana Menteri kesembilan itu.

Pas selaku salah satu komponen PN juga mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil rakyat mereka.

Hashim berkata, ketiga-tiga parti itu perlu bersatu agar kuasa pemerintahan tidak kembali jatuh kepada PH.Tiada lagi alasan untuk UMNO tolak PN

“Anwar dan DAP mempunyai 88 kerusi iaitu jumlah yang agak tinggi dan adakah kita tidak terbuka fikiran untuk bersatu dalam semangat penyatuan ini.

“Kita sudah rasa 22 tahun PH memerintah, manakala PN pula bertahan 17 bulan. Tidak kisah siapa sahaja (Pas, UMNO, Bersatu) Perdana Menteri,” tegasnya.

Sementara itu, di MARANG, usaha media mendapatkan pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak semalam tidak berhasil apabila ahli Parlimen Marang itu tidak keluar rumah, malah tingkap dan pintu rumahnya tertutup rapat.

Seorang pegawainya berkata, kehadiran pihak media sudah dimaklumkan kepada Abdul Hadi, namun beliau tidak mahu memberikan komen.

Katanya, sebarang komen akan dikongsikan melalui kenya­taan akhbar.

Abdul Hadi dalam hantaran di laman Facebook semalam mengulangi komitmen yang Pas terus bersama kepemimpinan Muhyiddin di waktu senang dan susah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×