ARAU: Pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik adalah langkah paling sesuai dilaksanakan dengan fokus utama adalah menangani Covid-19, isu rakyat dan ekonomi sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan semua ketua-ketua parti politik berunding mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan itu.
Katanya, dalam rundingan tersebut, mereka boleh mencadangkan siapa calon Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri yang difikirkan sesuai terdiri daripada ahli Parlimen pelbagai parti politik.
Jelasnya, cadangan pembentukan kerajaan perpaduan itu dilihat langkah sesuai untuk tidak melanjutkan ketidaktentuan ketika ini.
“Daripada segi pemerhatian umum, dilihat tidak ada calon (Perdana Menteri) yang mempunyai majoriti jelas sama ada Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.
“Melainkan jika PN dan UMNO muafakat sebulat suara menyerahkan kepada Seri Paduka untuk memilih mana-mana seorang ahli Dewan Rakyat dalam kalangan mereka sebagai Perdana Menteri, maka peluang mereka menubuhkan jemaah Menteri lebih cerah.
“Dalam tempoh mungkin beberapa bulan atau setahun sebelum pilihan raya, cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dilihat lebih sesuai yang fokusnya hanya menangani Covid-19, isu ekonomi dan kesusahan rakyat,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, parti-parti politik kini berusaha membentuk jajaran baharu selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Wan Ahmad Fauzi yang juga Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP) memberitahu, dalam proses pelantikan Perdana Menteri, sokongan majoriti itu sebenarnya disyaratkan selepas seorang Perdana Menteri itu dilantik.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong hanya perlu tentukan pada hemat Seri Paduka seseorang ahli Dewan Rakyat itu mungkin mempunyai majoriti sokongan atau kepercayaan.
“Dalam keadaan sekarang, boleh pilih seorang calon sama ada daripada PH atau PN, UMNO yang kemudian Seri Paduka akan melihat siapa yang mendapat undi kepercayaan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya. -UTUSAN










