Dendam terhadap komunis tidak pernah padam - Che Wan Yahya

Dendam terhadap komunis tidak pernah padam

CHE Wan Yahya Che Wan Pok ketika ditemui di Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu, semalam. – FOTO/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Detik hitam diserang hendap komunis ketika melakukan kerja-kerja risikan di Kampung Air Putih di sini kira-kira 68 tahun lalu sehingga cedera ditembak di bahagian punggung tidak mungkin dilupakan Che Wan Yahya Che Wan Pok, 86.

Malah, warga emas itu turut berdendam dengan kumpulan pengganas berkenaan kerana me­nembak mati bapanya, Che Wan Pok Wan Osman.

Katanya, bapanya merupakan anggota polis khas manakala dia serta abangnya pula adalah polis bantuan dan mereka bersama-sama rakan lain ditugaskan menyiasat dakwaan kehadiran dua komunis di kampung tersebut.

“Semasa meronda, tiba-tiba, kami diserang hendap dari jarak dekat oleh komunis yang berada di atas bukit dan belum sempat mencari tempat berlindung, peluru terkena pada punggung saya.

“Ayah maut ditembak ketika bergerak menghampiri saya, pada masa itu perasaan saya sedih serta marah, malah, tidak sempat melihat jenazahnya dikebumikan kerana saya dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Che Wan Yahya berkata, pertempuran hampir sejam itu turut mengorbankan rakan bapa­nya, Mustapha Yaakob selain dua komunis.

Katanya, kecederaan yang di­alami agak teruk dengan lima ser­pihan peluru dikeluarkan dari punggung di samping setiap hari doktor memotong kulit di bahagian berkenaan sebagai antara proses rawatan sepanjang 100 hari berada di hospital.

“Hanya Allah yang tahu seksanya kulit disiat-siat, malah saya tidak dapat duduk dengan baik dan terpaksa meniarap sehingga luka benar-benar sembuh selama hampir setahun.

“Kemudian saya menyertai pasukan kawalan tempatan selama 18 tahun diikuti askar wataniah dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), namun dendam terhadap penjajah tidak pernah padam, malah kalau mereka masih ada dan saya sihat, tentunya saya akan berlawan habis-habisan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×