Siapa Perdana Menteri Ke-9? - Utusan Malaysia

Siapa Perdana Menteri Ke-9?

Muhyiddin Yassin  meninggalkan pekarangan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam. . UTUSAN/SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Parti-parti politik kini berusaha membentuk jajaran baharu selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Difahamkan, tiga parti politik utama sibuk mengadakan mesyuarat ‘siang malam’ bagi menetapkan calon-calon yang sesuai bagi mengisi jawatan Perdana Menteri kesembilan itu.

Utusan Malaysia dimaklumkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan perbincangan pada pukul 5 petang semalam membabitkan pimpinan parti itu di sebuah lokasi di Publika, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur.

UMNO pula menerusi Biro Politiknya turut mengadakan mesyuarat serupa di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pas selaku salah satu komponen Perikatan Nasional (PN) juga mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil rakyat mereka.

Setakat ini, beberapa nama disebut-sebut dicalonkan menduduki kerusi nombor satu kerajaan tersebut iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Nama Ismail Sabri paling popular, dipercayai disokong sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO serta dipersetujui Pas. UMNO memiliki 38 kerusi Parlimen manakala Pas 18 kerusi

Bagaimanapun, jumlah sokongan masih menjadi tanda tanya berikutan beliau tidak disokong Bersatu.

Pada masa sama, difahamkan sebilangan Ahli Parlimen UMNO lagi yang diketuai presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi enggan memberi restu terhadap pencalonan Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Ismail Sabri layak diangkat untuk mengurus tadbir kerajaan yang baharu dalam memerangi Covid-19.

“Dia layak sebab disokong sebahagian besar parti politik, kebanyakannya Ahli Parlimen UMNO. Namun, kita serahkan kepada parti untuk buat keputusan.

“Daripada Pas dan Bersatu, saya rasa mereka akan sokong. Demi negara, pelantikan Perdana Menteri baharu ini perlu dibuat secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, PH yang mempunyai 89 kerusi Parlimen dianggotai PKR, DAP dan Amanah sepakat meletakkan Anwar sebagai calon tunggal. Seperti Ismail Sabri, Presiden PKR itu dikatakan masih bergelut mendapatkan ‘nombor’ dalam menjayakan citacita yang tidak kesampaian sejak 1998 ketika menjadi timbalan kepada Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, Anwar adalah calon paling layak menjadi Perdana Menteri kerana negara memerlukan pentadbir baharu untuk mencorak pentadbiran dan bukannya melantik seseorang daripada kerajaan yang gagal.

“Saya yakin Seri Paduka akan buat pilihan terbaik merungkai masalah politik bagi memastikan fokus kerajaan adalah terhadap proses vaksinasi, menghentikan penularan Covid-19, menghidupkan semula ekonomi dan selamatkan nyawa rakyat.

“Anwar pada waktu ini memerlukan tenaga baharu bukan daripada ahli Kabinet kerajaan yang gagal. Apa pun keputusan akhirnya di tangan Tuanku, Daulat Tuanku!,” ujarnya.

Bagi parti Warisan, Mohd. Shafie dianggap paling layak dilantik sebagai calon Perdana Menteri baharu berdasarkan pengalaman beliau lebih 30 tahun dalam politik.

Ketua Wiranya, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, tidak pernah dalam sejarah negara, pemimpin Sabah diberi peluang menerajui negara.

“Pertimbangan ini penting untuk kita terus merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Tengku Razaleigh yang dianggap pemimpin veteran paling lantang pernah menawarkan diri untuk dilantik Perdana Menteri.

Namun katanya, beliau sedar tidak akan mendapat sokongan daripada UMNO melainkan ada sokongan ahli pembangkang lain. “(Siapa harus menjadi Perdana Menteri?) Saya lah.

“Saya tidak tahu, saya tidak mendapat sokongan parti,” ujarnya yang dipetik daripada satu portal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN