Majoriti: Kembalikan kepada Agong - Utusan Malaysia

Majoriti: Kembalikan kepada Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEADAAN politik negara yang terkini amat meruncing. Lebih bergelora dari hiruk pikuk Gelora Bung Karno Main Stadium setiap kali Harimau Malaya berentap dengan Garuda Merah Putih.

‘Rentas parti’ yang dicadangkan tatkala kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak ada majoriti memerintah. Cuma 100 kerusi, kurang 11 untuk mencukupkan majoriti mudah. Kata pemerhati politik kalangan peguam, pelawaan itu suatu ‘tawaran yang dahsyat’.

Di sebalik itu, yang lebih menggusarkan rakyat kemungkinan besar akan ada ‘percaturan pihak yang cuba menangguk di air keruh’ – memanipulasi pihak yang amat terdesak memerlukan sokongan ini. Jangan kita lupa, bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik. Ular apatah lagi, biawak pun ikut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pepatah Inggeris berkata, “berjaga-jagalah apabila orang Greek membawa hadiah”. Wilayah Troy jatuh ke tangan orang Greek kerana mereka menerima hadiah kuda kayu yang diberi oleh orang Greek.
Begitu juga dengan orang yang akan datang dalam politik ‘kacau’, lantas membuat janji-janji yang memikat nafsu rakyat. Mereka sanggup membuat apa jua janji kerana mereka tahu mereka tidak akan dapat menubuhkan kerajaan yang akan bertanggungjawab menunaikan janji-janji itu.

Bak kata pepatah barat yang lebih kurang maksudnya “sesuatu bangsa mendapat kerajaan yang padan bagi bangsa itu”. Jika kita hendak kerajaan yang baik, kita akan dapat kerajaan yang baik. Tetapi jika sengaja memilih kerajaan yang buruk, akibatnya mendapat kerajaan yang buruk.

KUASA PENGIMBANG

Dalam merungkai gelora politik Malaysia hari ini, pendek kata, menamatkan drama ketiadaan majoriti, harapan rakyat kini terletak kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Kuasa pengimbang politik Malaysia tetap ada pada baginda-baginda semua. Agong, para sultan masing-masing atau pada Majlis Raja-Raja berfungsi di bawah Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.

Agong mempunyai tiga fungsi dan kuasa yang tidak boleh dipersoalkan. Pertama, melantik seseorang Perdana Menteri. Kedua, tidak memperkenankan membubar Parlimen (apabila didesak oleh sesuatu pihak). Dan ketiga, meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja dan mengambil tindakan darihalnya.

Kuasa ini juga wujud di bawah Perlembagaan semua negeri beraja. Peristiwa di Perlis dan Terengganu pada April 2008 jelas menukilkan fakta ini. Pada masa itu, kedua-dua negeri telah menerima nama-nama pemimpin daripada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai menteri besar masing-masing.

Lazimnya siapa yang dinasihati Perdana Menteri untuk menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri sesebuah negeri, nasihat atau cadangan menteri besar itu dipersetujui sahaja oleh Raja.

Tetapi dalam hal Perlis dan Terengganu, Raja dan Sultan berkenaan enggan melantik calon-calon yang dicadangkan oleh Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis) dan Datuk Seri Idris Jusoh (Terengganu). Sebaliknya Raja dan Sultan kedua-dua negeri itu melantik Datuk Seri Md Isa Sabu bagi Perlis dan Datuk Seri Ahmad Said bagi Terengganu.

Masih ingatkah kita dengan budi bicara yang digunakan oleh Almarhum Sultan Azlan Shah untuk menyelesaikan krisis politik di Perak pada 2009. Ini boleh dijadikan teladan dalam meredakan kemelut peralihan kepemimpinan negeri atau Pusat.

Barisan Nasional (BN) di Perak ketika itu menubuhkan kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili UMNO, seorang ADUN MCA dan tiga Bebas. Ia susulan kejayaan BN menarik empat ADUN daripada PKR dan DAP termasuk ADUN Bota yang kembali kepada UMNO dan menyatakan ketidakpercayaan kepada kerajaan negeri ketika itu.

Almarhum menggunakan budi bicara baginda selaku Sultan Perak untuk menentukan bahawa menteri besar daripada Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Dengan itu, Sultan Azlan Shah yang pernah menjadi presiden Mahkamah Agung (kini Ketua Hakim Negara) menjadi satu-satunya sultan yang terlibat secara langsung dalam pertukaran kerajaan negeri di pertengahan penggal. Ia menjadi legasi terbesar dalam krisis Perak. Bagaimanapun kaedah itu tidak diguna pakai dalam pertukaran menteri besar dalam dua kes yang berlaku selepas itu, iaitu Selangor pada 2014 dan Perlis pada 2018.

GAGAL

Hari ini, rakyat merasakan asas utama Proklamasi Darurat yang dikuatkuasakan 11 Januari lalu untuk mengekang Covid-19 dinilai ‘gagal’ kerana jumlah jangkitan semakin meningkat – melepasi 20,000 kes sehari. Proklamasi itu untuk menyelamat kerajaan, dakwa mereka. Pada masa sama, seakan ada usaha untuk mengikis kredibiliti institusi istana. Ini berikutan tanggapan “kerajaan ini dilantik oleh Agong, yang secara tidak langsung terkait sama.”

Dan jika ada berpandangan pilihan raya umum tidak sesuai diadakan buat masa ini kerana bencana Covid-19 ini semakin kritikal, perkara-perkara berikut boleh turut difikirkan oleh pihak Istana.

Antaranya:
1. Majlis Raja-raja mengekalkan status quo kerajaan sedia ada.

2. Tubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang disarankan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

3. Melantik Timbalan Perdana Menteri interim untuk tempoh enam bulan akan datang, yang kemudian akan menjadi Perdana Menteri kesembilan.

4. Melantik terus Perdana Menteri interim atau menubuhkan sebuah kerajaan interim.

Dan kelima, meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri yang berpandukan Perkara 43(2) – syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong seseorang itu mendapat keyakinan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kita percaya yang ke (5) itu adalah nas penyelesaian terbaik dalam Malaysia mempraktikkan sistem Westminster. Ini sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur, seterusnya kestabilan kepada negara.

Dan pastinya ada kalangan parti gabungan politik yang memiliki “nombor yang solid dan selesa” untuk meyakinkan pihak Istana.

Ya, kerana Raja-rajalah, orang Melayu mendapat Perdana Menterinya sendiri. Ia bermula dari Perjanjian Persekutuan Malaya bagi pihak British dan Raja-raja Melayu pada 21 Januari 1948 yang menubuhkan secara rasmi Semenanjung Tanah Melayu.

Pembentukan Suruhanjaya Reid pada Februari 1957, antara lain menyemai benih kerajaan dalam draf Perlembagaan Persekutuan Malaya. Suruhanjaya berpendapat Persekutuan sepatutnya mempunyai Kerajaan Persekutuan yang kukuh. Yang di-Pertuan Agong (digelar Yang di-Pertuan Besar dalam laporan Suruhanjaya Reid) adalah puncak Eksekutif walaupun kuasa eksekutif sebenar di tangan Perdana Menteri yang dibantu oleh ahli-ahli Kabinet beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini