Perikatan Nasional masih ada majoriti - Prof. Dr. Kartini

Perikatan Nasional masih ada majoriti

KARTINI ABOO TALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipercayai masih mempunyai majoriti kerana lapan ahli UMNO yang secara jelas ‘melompat bot’, tidak bersama Pakatan Harapan (PH).

Malah, ia mengambil kira sebilangan besar PKR dan DAP yang diandaikan masih bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, PN berkemungkinan mendapat majoriti daripada gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, jika dikira dengan berhati-hati, jumlah 220 kerusi di Parlimen, PN masih mempunyai majoriti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cuma kini yang dibimbangkan ialah petualang yang menggangu Istana dalam kemelut kuasa dalam badan eksekutif ini,” katanya di sini semalam.

Kartini berkata, Anwar sudah beberapa kali diberi peluang untuk membuktikan beliau ada undi majoriti, tetapi, bila tiba masanya, Ketua Pembangkang itu tidak dapat membuktikan undi majoriti tersebut. 

Katanya, walaupun Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru Menteri-Menteri UMNO untuk bersama beliau, namun, sehingga kini, Presiden UMNO itu hanya mempunyai kurang dari 10 undi sokongan. 

“Jumlah ada majoriti PN ialah 31 ahli Parlimen tambah Barisan Nasional (BN) masih bersama PN. Maka, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen,” katanya. 

Mengulas lanjut, kebebasan memilih atau ‘liberty to choose’ membolehkan pemimpin bertindak sedemikian iaitu memberikan sokongan kepada mana-mana pihak adalah tidak menyalahi undang-undang.

Katanya, ini jelas boleh dilihat dalam UMNO sendiri yang menyediakan dua ‘bot’ pilihan, satu bersama Presiden dan satu lagi bersama kerajaan PN. 

“Persoalannya, yang mana satu bot yang akan karam dahulu? Dalam kes ini, ahli-ahli Parlimen UMNO harus bijak untuk tidak melompat ke dalam bot yang tiada hala tuju, terutama bila Presiden bersifat menangguk di air keruh. 

“Rakyat melihat dan ramai merasakan mereka ini hanya mementingkan diri sendiri dan mengenepikan rakyat. Mereka ini terutama kluster mahkamah hanya memikirkan cara untuk menyelamat diri masing-masing sahaja. Tindakan ini akan ditolak rakyat,” katanya. 

Kartini berkata, selepas kejatuhan PH, kerajaan tidak ada majoriti yang jelas dan pembentukan ‘grand alliance’ bersifat strategik serta membantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerajui kepemimpinan kerajaan oleh parti minoriti yang mendapat sokongan mencukupi ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan dengan sokongan Yang di-Pertuan Agong.

Buat masa ini, katanya, undi percaya masih lagi dimiliki Muhyiddin dan PN kerana kerajaan ini yang mendukung usaha pemulihan negara dan rakyat dalam krisis kesihatan. 

“Oleh kerana akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen hanya diketahui Yang di-Pertuan Agong, kemungkinan besar DAP, Warisan, Pejuang juga memberi undi percaya kepada Muhyiddin,” katanya. 

Utusan Malaysia semalam melaporkan, ada kejutan terbesar berlaku ber­dasarkan faktor ada dalam kalangan ahli Parlimen DAP dan PKR cenderung berpihak kepada PN.

Malah, keyakinan PN untuk meraih majoriti itu akan diterus­kan pula dengan satu rombakan Kabinet sebagai tanda kepimpinan serius untuk memastikan sur­vival kerajaan bertahan se­kurang-kurangnya sehingga Par­li­men dibubarkan.

Perkara-perkara itu dipercayai antara yang dibangkitkan dalam pertemuan khas pemimpin-pemim­pin PN diketuai Perdana Menteri di Putrajaya, kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini