SEREMBAN: Kementerian Pendidikan perlu membentangkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan terperinci sebelum memulakan sesi persekolahan bersemuka 1 September ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri menyokong pembukaan sekolah secara bersemuka itu tetapi perlu mengambil kira peningkatan kes jangkitan harian dan kemunculan mutasi berbahaya seperti varian Delta dan Lambda.
“Saya amat menyokong usaha kerajaan untuk membuka semula sesi persekolahan tetapi apakah SOP?
“Beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mengelakkan penularan jangkitan lebih teruk melibatkan pelajar sekolah walaupun kes Covid-19 melibatkan kluster di sekolah tidak seramai kluster lain tetapi kalau boleh dielakkan dengan wujudnya varian baharu seperti Delta dan Lambda,” katanya hari ini.
Menurut Aminuddin, Kementerian Pendidikan harus memastikan para pelajar divaksin terlebih dahulu walaupun sesi persekolahan secara bersemuka ditetapkan secara berperingkat.
“Kementerian Pendidikan harus bersedia dengan SOP yang jelas dan perlukan pastikan anak-anak ini mendapat vaksin terlebih dahulu barulah kita benarkan mereka menghadiri kuliah atau pelajaran secara bersemuka,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini, manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.
Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – UTUSAN











