KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran memanggil sidang khas Parlimen sehari bagi membentangkan Usul Undi Percaya sebelum perasmian persidangan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 6 September ini.
Ini supaya titah Seri Paduka sesuai dengan kerajaan yang sah dan dibahaskan dalam Dewan Rakyat selepas ahli parlimen menyelesaikan masalah keabsahan kedudukan Perdana Menteri.
Ketika menyuarakan perkara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, ini bagi memastikan istiadat perasmian oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah nanti tidak dibayangi oleh kemelut politik dan masalah pertikaian keabsahan kerajaan.
“Sepatutnya Perdana Menteri kena adakan sidang khas satu hari sahaja, hanya bawa Usul Undi Percaya supaya titah Seri Paduka dalam perasmian nanti, sesuai untuk dibahaskan. Kalau tidak, bila kerajaan bertukar, mungkin tidak accurate atau tak boleh hendak bahas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Justeru, Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO memaklumkan perkenan Seri Paduka itu seperti titah yang perlu ditaati oleh semua pihak dengan menunggu usul berkenaan dibentang dalam Dewan Rakyat.
“Perdana Menteri kata Seri Paduka perkenan Usul Undi Percaya untuk dibawa ke Parlimen. Itu adalah titah Yang di-Pertuan Agong melainkan ada arahan baharu dari Istana Negara, kemudian bolehlah (tentukan tindakan lain).
“Tak perlulah bertelagah sekarang. Keputusan MT (Majlis Tertinggi UMNO) sudah buat, hanya menjadi tugas dan tanggungjawab ahli parlimen untuk mematuhi keputusan MT. Tak wujud soal 31 orang sokong, lapan lagi tak sokong, tunggu dalam parlimen nanti,” tegasnya.
Dalam masa sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu turut mencadangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memanggil semua ahli parlimen UMNO bagi meyakinkan mereka tentang hala tuju parti sekiranya sokongan terhadap Muhyiddin ditarik.
“Ini kerana tidak semua ahli parlimen berada dalam MT. Macam saya ahli parlimen duduk dalam MT, jadi, saya boleh tahulah apa perbincangannya. Tetapi majoriti ahli parlimen tak ada dalam MT,” jelasnya.- UTUSAN











