Drama politik belum berakhir - Utusan Malaysia

Drama politik belum berakhir

MINGGU lalu, Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) memberitahu, beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk kekal memimpin negara buat masa ini. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BABAK pertama drama politik kita bermula pada 21 Februari 2020, apabila Langkah Sheraton menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia belum sampai dua tahun tumbang.

Sebulan sebelum itu, virus Covid-19 sudah pun masuk ke negara ini apabila sekumpulan pelancong dari China (yang melawat Singapura) merentasi Tambak Johor dan memasuki Johor Bahru. Lebih serius lagi, penularan virus berpunca daripada perhimpunan ahli tabligh di Masjid Sri Petaling dari 27 Februari hingga 1 Mac 2020.

Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri kerajaan PH pada 24 Februari, dan pada 1 Mac 2020, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Pada 18 Mac 2020, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan di seluruh negara. Pada 1 Mei 2020, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pada 7 Jun, kerajaan menggantikan PKPB dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan banyak kelonggaran pergerakan mulai 10 Jun hingga 31 Ogos. Pada 28 Ogos, PKPP dilanjutkan sehingga akhir tahun, 31 Disember 2020.

Pada masa itu, ramai menyangka kita sudah menang melawan pandemik Covid-19. Jumlah jangkitan pada Jun sudah menunjukkan satu digit sahaja. Malangnya, tempias kejatuhan kerajaan Pusat ekoran Langkah Sheraton mengakibatkan kejatuhan kerajaan negeri Sabah di bawah kepemimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Walaupun ramai yang menasihati Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak diadakan, nasihat itu tidak dipedulikan dan Sabah mengadakan PRN pada 6 September 2020.

Ramai ahli politik dari Semenanjung turun ke Sabah untuk berkempen tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Setelah PRN berakhir dan ahli-ahli politik ini pulang ke Semenanjung, SOP sekali lagi tidak dipedulikan. Akibatnya, jangkitan Covid-19 merebak tanpa boleh dikawal lagi.

Jika angka jangkitan pada 20 Ogos menunjukkan lima kes sahaja, pada 26 September (iaitu tiga minggu selepas PRN), angka melonjak ke 82 kes. Pada 6 Oktober 2020, Perdana Menteri sendiri membuat pengakuan jangkitan virus Covid-19 merebak ke seluruh negara disebabkan PRN.

Akibatnya, pada 1 Januari 2021, bukan hanya keadaan kembali seperti asal, ia menjadi lebih teruk lagi. Mulai tarikh itu, PKPP dilaksanakan semula di seluruh negara sehingga 31 Mac.

Pada 31 Disember 2020, jumlah jangkitan sudah mencecah 2,000 kes. Sebulan kemudian, pada 30 Januari 2021, angka ini naik tiga kali ganda (5,728 kes). Pada 2 Jun naik lagi (7,703 kes) dan seterusnya trend yang sama hingga 1 Ogos lalu (17,151 kes). Minggu lalu (6 Ogos), jumlah jangkitan mencecah 20,889 kes manakala jumlah kematian pada 5 Ogos lalu adalah 164 kes.

Jumlah keseluruhan kes jangkitan kini sudah mencecah angka 1.22 juta manakala jumlah keseluruhan kematian melebihi 10,000 orang. Rakyat dimaklumkan darurat diisytiharkan untuk membanteras penularan pandemik Covid-19. Soalnya, apakah matlamat itu dapat dicapai?

Yang kita lihat adalah laporan media tentang sistem kesihatan negara yang hampir lumpuh, hospital tidak cukup katil dan peralatan, kemudahan merawat pesakit Covid-19 yang tenat tidak mencukupi. Terbaharu, pada Julai lalu, kita dikejutkan lagi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang mendedahkan jumlah kes mati ketika dibawa (BID) meningkat tujuh kali ganda dalam tempoh dua bulan. Daripada jumlah keseluruhan 4,856 kematian yang dilaporan bagi tahun ini, 670 kes kematian (atau 13.8 peratus) adalah BID.

Kaitan pandemik dengan drama politik

Apa kaitan kes jangkitan Covid-19 ini dengan drama politik negara?

Dalam kenyataan akhbar pada 16 Jun lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan, Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan betapa perlunya satu pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. Untuk menjayakan matlamat itu, Seri Paduka berpendapat, amat perlu Parlimen bersidang secepat mungkin bagi membincangkan isu penting ini.

Parlimen bersidang pada 26 Julai lalu tetapi ahli-ahli Parlimen tidak diberi peluang membincangkan dua isu penting seperti yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menambahkan kemelut lagi, drama politik minggu lalu menimbulkan tanda tanya, apakah kerajaan sedia ada ini stabil, kukuh dan berupaya berfungsi dengan efektif menangani wabak Covid-19 seperti yang disebutkan dalam kenyataan akhbar 16 Jun lalu?

Pada 4 Ogos lalu, Muhyiddin memberitahu media, beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk kekal memimpin negara buat masa ini. Oleh itu, isu perletakan jawatan beliau di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit.

Satu portal berita memetik Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, satu laporan polis telah dibuat ke atas Muhyiddin kerana didakwa cuba untuk mengelirukan dan menipu Yang di-Pertuan Agong apabila memaklumkan Seri Paduka bahawa beliau ada cukup sokongan majoriti di Parlimen.

“Kenyataan yang dipersembahkan kepada Seri Paduka bahawa beliau masih memiliki sokongan majoriti adalah cubaan untuk mengelirukan serta menipu Seri Paduka,” tegasnya.

Dalam situasi politik yang fluid begini, sukar bagi kita meramalkan apa yang akan berlaku dalam drama politik negara dalam sehari dua akan datang ini. Sama-sama kita tunggu dan lihat sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan apa-apa siasatan ke atas laporan polis itu.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×