5 tips nilai kejayaan anak - Utusan Malaysia

5 tips nilai kejayaan anak

Anak berani, berprinsip dan tidak takut, berada di landasan yang betul dalam mencapai kejayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MY WAY OF PARENTING

Setiap ibu bapa inginkan kejayaan buat anak anak. Sejak lahir anak dibelai, dijinjing dan diajar dengan harapan anak akan membesar menjadi seorang yang berguna dewasa kelak dunia mahupun akhirat.

Kejayaan boleh diinterpretasi dalam pelbagai bentuk. Menjadi doktor, peguam atau juruterbang mungkin adalah kejayaan seseorang. Memiliki kekayaan juga adalah satu bentuk kejayaan.

Menjadi guru mendidik anak ke menara gading juga adalah kejayaan. Dengan kata lain, kejayaan adalah subjektif. Definisinya bergantung kepada pendirian individu.

Walau apa jua kejayaan diimpikan, ibu bapa perlu mengetahui ciri-ciri yang harus diterapkan dalam diri anak, agar melengkapi diri mereka dalam usaha untuk mencapai kejayaan.

Ibu bapa harus berilmu dalam mencapai hasrat itu dan mempraktikkan ciri-ciri sejak kecil lagi.

1. Disiplin

Anak-anak harus diajar berdisiplin bermula usia lima tahun. Perkenalkan rutin harian dalam kehidupan mereka. Kanak-kanak sukakan rutin. Disiplinkan anak dengan bangun pagi setiap hari agar mudah apabila masuk sesi persekolahan nanti.

Tetapkan masa bersarapan bersama sebelum ke sekolah. Pastikan anak menelaah pelajaran sejam sehari dan tidur selewat-lewatnya pukul 10 malam. Anak yang berdisiplin sudah pasti akan mencapai kejayaan kelak.

2. Impian

Ibu bapa harus berkomunikasi dengan anak untuk mengetahui impian yang terbaik. Kadangkala anak tidak mengetahui apakah impian yang diminati.

Ibu bapa harus memberi tunjuk ajar kepada mereka. Lebih baik jika anak dapat didedahkan kepada pelbagai impian dan dituliskan di dinding agar ia menjadi realiti satu hari nanti.

3. Sikap daya saing

Anak harus didedahkan kepada pelbagai aktiviti untuk berdaya saing dan kompetitif dalam kehidupan seharian mereka.

Sikap ingin menang dan menjadi terbaik harus diterapkan dalam diri mereka agar anak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu.

Cara terbaik adalah melibatkan anak dalam sukan, seni mempertahankan diri dan pertandingan bersaing dengan anak-anak yang lain. Namun penting untuk mendidik anak agar menerima kekalahan sebelum mencapai kejayaan.

4. Jangan takut

Anak harus dididik berani dalam kehidupan seharian. Dedahkan anak kepada pengucapan awam, debat, story-telling di peringkat awal lagi supaya mereka berani berdepan di khalayak.

Anak yang berani, berprinsip dan tidak takut meluahkan isi hati mereka pasti berada di landasan yang betul dalam mencapai kejayaan.

5. Kekuatan Minda

Kekuatan minda adalah kunci kejayaan. Ia boleh dipraktikkan sejak awal. Kasih sayang dan hubungan utuh dalam keluarga, kata-kata positif dalam menaikkan semangat anak, tidak kenal erti penat, tidak mengalah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu, harus diterapkan untuk mencapai kekuatan minda. Ia adalah elemen terpenting mencapai kejayaan.

Kejayaan anak adalah hasil cara didikan ibu bapa. Kejayaan juga tidak datang bergolek.

Ibu bapa harus memainkan peranan besar dalam mendidik anak secara holistik, menerapkan nilai positif dalam diri anak dalam mengecapi kejayaan.

Perwatakan, personaliti dan karisma tidak terbina sekelip mata. Bagaimanapun ia boleh dipelajari dan diajar kepada anak, agar mereka menjadi generasi yang lebih baik dalam menghadapi kehidupan lebih mencabar kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×