KUALA LUMPUR : Selebriti dan usahawan terkenal , Neelofa, turut dilihat sama-sama mendoakan rakannya, penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 36, agar dikurniakan kesembuhan dan kekuatan selepas kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurut Neelofa, dia juga mengajak agar orang ramai turut mendoakan yang baik buat penyanyi tersebut yang dalam masa yang sama sedang hamil lapan bulan dan dijangkiti Covid-19.
“Salam Jumaat. Pada hari yang penuh kemuliaan ini, saya nak mengajak semua, untuk sama-sama mendoakan rakan saya, Siri Sarah Raisuddin dan seluruh rakyat Malaysia khususnya yang sedang berjuang menentang Covid-19 agar segera sembuh dan kuat semangat.
“Semoga doa kita smeua diperkenankan. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.
Selain Neelofa, antara rakan artis lain berbuat demikian termasuk Mark Adam, Zanarul Hisyam, Zalif Sidek, Sari Yanti, Jep Sepahtu dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin.
Dalam pada itu, satu bacaan Yassin dan doa secara maya buat penyanyi tersebut telah diadakan pada tengah hari ini dengan diketuai oleh pendakwah bebas, Imam Muda Asyraf.
Terdahulu, suami Sarah, Shuib memaklumkan, isterinya itu dimasukkan ke ICU, berikutan tahap oksigen yang tidak stabil akibat jangkitan Covid-19.
TErbaharu, Pengurus penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, Nana Mohd Rom memaklumkan doktor yang merawat dan memantau keadaan penyanyi tersebut bakal melakukan satu pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungannya pada pukul 2 petang ini.
Selasa lalu, Siti Sarah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras berikutan tahap oksigen yang semakin menurun akibat virus tersebut.
Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 25 Julai lalu. Mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus maut tersebut.
Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011, memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.










