Faraid lindungi hak kanak-kanak - Utusan Malaysia

Faraid lindungi hak kanak-kanak

ISLAM menetapkan kanak-kanak juga berhak menerima faraid walaupun usia mereka masih kecil;. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perlindungan kanak-kanak adalah suatu usaha berterusan yang perlu dipandang penting oleh semua pihak. Penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang berlaku saban hari harus dielakkan demi kehidupan yang harmoni dalam masyarakat.

Islam mengiktiraf kanak-kanak kerana mereka merupakan salah satu fasa penting dalam kejadian manusia. Tempoh fasa ini yang bermula dengan kelahiran di dunia sehingga mencapai tanda-tanda baligh dirakamkan dalam al-Quran (rujuk ayat 5 dalam surah al-Hajj).

Ayat ini menjadi bukti kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan manusia. Terma tiflan yang terdapat ayat tersebut bermaksud kanak-kanak disebut secara jelas sebagai peringkat pertama kehidupan manusia selepas pembentukan di alam janin.

Imam al-Qurtubiyy menyatakan tafsiran maksud tiflan ialah satu tempoh yang bermula daripada kelahiran sehingga mencapai umur baligh.

Sokongan kewangan adalah sebahagian perlindungan terhadap kanak-kanak dalam tempoh mencapai usia baligh. Pemberian nafkah dan tanggungan perbelanjaan kepada mereka adalah satu sumbangan yang terbaik bagi sesebuah keluarga.

Jika pemberi nafkah itu meninggal dunia, maka kebajikan kepada kanak-kanak masih berterusan dengan pemberian hak berkaitan harta pusaka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Satu dinar kamu belanjakan di jalan Allah, satu dinar kamu belanjakan kepada hamba, satu dinar kamu beri kepada orang miskin dan satu dinar kamu beri kepada ahli keluarga, maka yang paling besar ganjarannya ialah apa yang dibelanjakan kepada ahli keluarga. (Riwayat Muslim, Kitab al-Zakat, Bab: Fadl al-Nafaqah ‘ala al-’Iyal, no: 995)

Kedatangan Islam sebagai agama samawi terakhir telah membawa perubahan dengan melindungi kanak-kanak melalui pensyariatan hukum faraid. Kanak-kanak yang dahulunya dalam masyarakat Arab Jahiliah dipinggirkan daripada mendapat harta pusaka sudah tidak lagi terpinggir dalam Islam.

Tiada beza usia

Perbezaan usia bukanlah syarat untuk menentukan seseorang itu sebagai penerima harta pusaka atau tidak. Syarat faraid hanya melibatkan tiga perkara iaitu kematian pewaris, hidupnya waris dan mengetahui sebab hubungan serta tiada halangan pewarisan.

Justeru, kanak-kanak akan diambil kira sebagai waris walaupun usia mereka masih kecil. Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah). (al-Nisa’: 7)

Sebagai contoh, seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan waris iaitu tiga anak lelaki yang mana salah seorang daripada mereka masih kanak-kanak.

Kesemua anak lelaki si mati akan termasuk sebagai waris berstatus ‘asabah. Harta si mati akan dibahagi kepada ketiga-tiga anak dengan setiap seorang mendapat 1/3 bahagian.

Kanak-kanak bukan dianggap suatu penghalang untuk bersama-bersama dengan waris lain untuk mendapat harta pusaka.

Namun keadaan kanak-kanak itu dilihat sebagai satu kekangan untuk mengurus harta dengan diri sendiri. Mereka memerlukan pihak lain sama ada daripada kalangan waris atau orang luar untuk menjadi pengurus harta pusaka yang diperolehinya.

Dalam kes sebelum ini, dua abang yang sudah dewasa seharusnya menjaga kebajikan adiknya yang masih kecil. Jangan digunakan hak pusaka yang diperoleh oleh adik tersebut untuk kepentingan peribadi masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang abang dan membiarkan kebajikan adik mereka.

Keperluan kepada pentadbir yang amanah sangat penting agar harta pusaka diurus dengan baik di samping kebajikan kanak-kanak tadi tidak terabai.

Pesanan kepada semua pentadbir untuk menjaga kebajikan ini disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran). (al-Nisa’: 9)

Ayat yang diturunkan sebelum perincian tentang agihan faraid kepada waris-waris yang berhak adalah sangat signifikan. Ini kerana ia jadi panduan kepada pentadbir harta kanak-kanak.

Mereka sentiasa diingatkan supaya sentiasa bertakwa dan takut kepada Allah SWT kerana penyelewengan dan pengabaian harta kanak-kanak berkemungkinan boleh terjadi jika tidak diurus dengan baik. Mereka turut diperingatkan untuk berkomunikasi dengan baik dan benar tentang harta yang dijaganya.

Hal ini semua demi memastikan generasi akan datang dapat meneruskan kelangsungan hidup di dunia.

Allah SWT memberi gambaran bahawa jika tiada rasa takut dan tidak memberi maklumat yang benar dalam mengurus harta akan melahirkan generasi yang lemah.

Lemah berkemungkinan datang dari pelbagai sudut seperti tiada bantuan kewangan, tiada ilmu mengurus pada masa akan datang dan tiada budi pekerti dalam kehidupan seharian.

Lebih membimbangkan jika generasi akan datang lemah kerana terungkai nilai keimanan dan jati diri Islam dalam diri masing-masing.

Hak sejak janin

Perlindungan hak faraid kepada kanak-kanak berlaku sejak dalam kandungan dan masih di peringkat janin lagi. Sebagai contoh, seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan isteri yang sarat mengandung akan menyebabkan kandungan tersebut turut diberi hak untuk mewarisi harta pusaka lelaki tersebut.

Situasi lain yang boleh terjadi ialah apabila si mati meninggalkan ibu yang sedang hamil iaitu janin yang bakal lahir berstatus adik beradik kepada di mati.

DALAM Islam setiap bayi yang lahir akan mewarisi harta pusaka walaupun hanya hidup seketika. – GAMBAR HIASAN

Perlu diingat hanya janin yang terhasil daripada hubungan yang sah di sisi syarak sahaja yang akan dikira sebagai waris untuk mewarisi harta pusaka.

Namun jika benih yang terhasil daripada hubungan yang diharamkan seperti anak zina, ia tidak dikira sebagai waris serta tidak boleh mewarisi harta pusaka dari sebelah bapanya tetapi mewarisi dari sebelah ibunya sahaja.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Mana-mana lelaki yang berzina dengan perempuan merdeka atau seorang hamba, maka anak tersebut adalah anak zina, dia tidak boleh mewarisi (harta pusaka bapa zinanya) dan tidak boleh diwarisi (harta pusaka anak zina tersebut). (Riwayat al-Tirmidzi, Kitab al-Faraid, no: 2113)

Ilmuwan fiqh sepakat memberi hak faraid kepada janin apabila menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

Pertama, disyaratkan janin yang ada dalam perut ibu yang sedang mengandung itu telah wujud ketika kematian pewaris (si mati yang ada hubungan dengan janin) tersebut.

Ini kerana, salah satu syarat penting pewarisan dalam agihan faraid ialah waris hidup ketika pemilik harta meninggal dunia.

Syarat kedua ialah janin tadi hendaklah dilahirkan semuanya dalam keadaan hidup. Tanda-tanda hidupnya seperti menangis, bersin, wujud gerakan, bernafas dan sebagainya.

Bayi yang dilahirkan ini akan mewarisi harta pusaka walaupun hanya hidup seketika dan kemudian meninggal dunia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila bersuara bayi tersebut (bayi yang dilahirkan), ia berhak mewarisi harta pusaka. (Riwayat Abu Daud, Kitab al-Faraid, Bab: Fi al-maulud yastahillu thumma yamut, no: 2920)

Hak anak yatim

Seruan untuk melindungi anak yatim dalam Islam bukanlah suatu yang asing. Golongan ini masih dianggap kanak-kanak kerana terma yatim ditujukan kepada mereka yang belum baligh yang bapanya telah meninggal dunia.

Nas al-Quran sendiri berulang kali menyebut tentang anak yatim iaitu sebanyak 23 kali di dalam 12 surah bagi memperingati kedudukan anak yatim yang perlu dilindungi.

Nas hadis Rasulullah SAW juga sarat dengan kelebihan kepada penjaga anak yatim dan tegahan melakukan kezaliman terhadap mereka.

Peringatan untuk mengiktiraf hak pusaka anak yatim sangat diambil berat dalam Islam sehingga diingatkan dalam dua ayat penting sebelum perincian ayat pusaka dalam surah al-Nisa’.

Kedua-dua ayat tersebut sangat penting kerana menegaskan kepentingan pemberian bahagian anak yatim dan hukuman yang bakal diterima sekiranya berlaku penyelewengan terhadap harta anak yatim.

Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik. (al-Nisa’: 8)

Ayat ini mengingatkan supaya meraikan beberapa golongan seperti anak yatim dan kerabat yang miskin ketika agihan harta pusaka.

Anak yatim disebut secara khusus kerana ciri-ciri mereka yang masih kanak-kanak menyebabkan sukar untuk mencampuri urusan orang dewasa.

Bahkan mereka sendiri kadangkala tidak terfikir dengan musibah kematian dalam keluarga. Oleh itu, orang dewasa daripada waris mahupun wasi (pentadbir) tidak seharusnya meminggirkan hak mereka ke atas bahagian yang diperuntukkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. (al-Nisa’: 10)

Ayat ini mengingatkan kita semua agar tidak menzalimi anak yatim dengan memakan harta mereka berdasarkan ancaman hukuman yang berat di akhirat kelak. Ironinya, jika amanah yang dipertanggungjawab kepada pihak yang menjaga anak yatim dicabuli maka wujudlah pecah amanah.

Perlu diingat, pencabulan hak melalui pecah amanah bukan sahaja berlaku dalam urus tadbir institusi yang besar, malah boleh berlaku dalam urus tadbir harta keluarga.

Misalan yang paling mudah ialah jika seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak lelaki yang masih kecil dan seorang saudara lelaki kandung.

Harta peninggalan lelaki tersebut akan diwarisi sepenuhnya oleh anak lelakinya sebagai waris ‘asabah dan tiada langsung hak saudara lelaki walaupun berpangkat bapa saudara (pak cik) kepada anak lelaki tersebut.

Sebagai bapa saudara yang amanah seharusnya bertanggungjawab menjaga anak buahnya yang menjadi yatim atas kematian bapa (saudaranya). Namun berapa ramai yang amanah dengan melindungi dan menjaga anak yatim tersebut?

Waris atau wasi (pentadbir) wasiat bagi keluarga kanak-kanak perlu menjalankan tanggungjawab yang lebih iaitu mengurus dan menjaga kebajikan mereka. -GAMBAR HIASAN

Penegasan

Pensyariatan faraid adalah salah satu mekanisme agihan harta keluarga yang dibentuk demi memenuhi kemaslahatan ahli keluarga dan menjaga kebajikan waris dalam meneruskan kehidupan mereka daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Dalam hal ini, kanak-kanak bukan lagi komuniti terpinggir bahkan merupakan sebahagian komuniti keluarga yang memerlukan perlindungan dan sokongan kewangan demi kelangsungan hidup di dunia.

Kanak-kanak tetap diberi hak faraid dalam Islam walaupun mereka tidak mampu untuk mengurus harta dengan sendirinya. Dalam hal ini, waris mahupun wasi (pentadbir) dalam keluarga kanak-kanak tersebut perlu menjalankan tanggungjawab yang lebih iaitu mengurus dan menjaga kebajikan mereka.

Contoh mudah, hak janin dan anak yatim yang disebut sebelum ini tidak akan mencapai maksudnya melainkan di sana terdapat pemegang amanah yang amanah.

Saranan mewujudkan yayasan keluarga atau tabung amanah keluarga sangatlah penting demi menjaga harta pusaka yang disimpan dan ditangguhkan agihannya.

Hak janin tidak akan diperolehi secara fizikal melainkan telah lahir dalam keadaan hidup. Bahkan setelah lahir pun mereka belum dapat merasai pemberian harta pusaka tersebut sama seperti anak yatim kecuali semuanya telah cukup ‘dewasa’ untuk dibenarkan mengurus harta.

Perlu diingat sehingga tempoh menunggu dewasa itu selesai, semua kanak-kanak turut memerlukan perbelanjaan untuk kelangsungan hidup yang terjamin.

Sekali lagi beruntunglah semua kanak-kanak yang dilindungi oleh pemegang amanah yang amanah.

  • Zahari Mahad Musa, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×