PETALING JAYA: Hubungan UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang terjalin sejak dua tahun lalu sukar diselamatkan berdasarkan situasi politik semasa dalam negara.
Jalinan kerjasama yang dimeterai pada 14 September 2019 itu menjadi rumit berikutan keputusan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai Pas.
Pas turut menyifatkan tindakan UMNO yang menarik sokongan terhadap Kerajaan PN tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam Piagam MN.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan UMNO itu menjejaskan segala usaha kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.
“Pas melahirkan rasa dukacita dengan langkah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bertindak mengarahkan ahli Parlimen parti itu menarik diri daripada Kerajaan PN.
“Tindakan itu juga tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam Piagam MN. Ia secara tidak langsung akan menggugat perancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan usaha menangani penularan Covid 19, serta usaha membantu rakyat yang sedang terjejas teruk,” kata beliau semalam.
Bagaimanapun, menurut beliau, Pas kekal yakin dengan asas penubuhan MN yang bermatlamatkan kesatuan ummah dan membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahan demi kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
Kata Tuan Ibrahim, MN masih wujud dan perbincangan bersama UMNO masih dilakukan selaras dengan piagam muafakat berkenaan.
“MN masih wujud dan kami berhubung serta berbincang. Kami lihat agenda yang lebih besar umat ini perlu bersatu,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad turut berkata, parti tersebut sudah lama tidak bermesyuarat dengan UMNO berikutan banyak urusan lain yang perlu diselesaikan.
“Lama tidak bermesyuarat dan tidak ada keputusan khas,” katanya.
Krisis politik yang kritikal kini melibatkan parti gabungan MN iaitu UMNO bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus Pas dilihat tersepit dalam membuat keputusan.
Ini kerana menurut beliau, Pas adalah parti yang bersama dengan Bersatu dalam gabungan PN sementara parti Islam itu juga bersama dengan UMNO dalam MN.
Dalam pada itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, masa depan hubungan UMNO dan Pas dalam MN dilihat gelap dan sukar diselamatkan.
Menurut beliau, Pas dilihat cenderung memilih Bersatu di dalam PN berbanding menyelamatkan hubungan dengan UMNO menerusi MN.
Bagaimanapun, kata Rusdi, persoalan sama ada Pas memilih UMNO atau Bersatu juga bergantung kepada keputusan undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi Dewan Rakyat September ini.
“Saya tidak nampak Pas akan bersama UMNO. Kalau Muhyiddin dapat mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri September ini, hubungan Pas dan UMNO akan semakin parah.
“Malah, kalau dilihat peringkat akar umbi, Pas lebih banyak menjalankan gerak kerja bersama Bersatu di dalam PN. Di peringkat akar umbi juga, hubungan Pas dan UMNO semakin menjauh,” katanya.
Sementara itu, Rusdi berkata, kepincangan dalam UMNO ketika ini juga menimbulkan masalah apabila banyak pemimpin parti itu masih ke arah menyokong Bersatu dan cuba menyelamatkan Kerajaan PN.
Menurut beliau, dalam soal tersebut, pendirian UMNO belum kukuh dan MN pula dilihat sudah semakin tidak wujud.
“Saya melihat hubungan UMNO dan Pas akan tinggal sejarah sebagaimana berlaku pada era 70-an lalu. Mereka pernah bekerjasama pada 1974 sebelum berpisah beberapa tahun kemudian seterusnya mencetuskan perseteruan yang panjang.
“Selepas PRU-14, saya lihat nawaitu gabungan tersebut berada di landasan yang tepat untuk penyatuan Melayu Islam. Namun selepas itu semuanya sudah berubah selepas ada kuasa (kerajaan PN),” katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Siti Norayu Mohd Basir pula berkata, Pas dan UMNO mempunyai perjalanan sejarah panjang dan hubungan kedua-dua parti tersebut dilihat sukar bertahan lama.
Katanya, hubungan tersebut juga perlu dilihat berdasarkan apa matlamatnya sama ada demi kesatuan atau kepentingan peribadi.
“Ketika Pas dan UMNO bersatu kita, boleh ramal apa yang akan berlaku selepas itu kerana kedua-dua parti itu sukar bertahan lama.
“Bagi orang Melayu Islam, gabungan tersebut (Pas dan UMNO) sangat kuat dan mereka sangat berharap hubungan itu kekal demi penyatuan Melayu Islam di negara. Namun sejauh mana hubungan Pas dan UMNO boleh kekal, ia nampak sukar,” katanya.- UTUSAN











