IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pelantikan beliau sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau akan memastikan tanggungjawab digalas dengan baik demi kepentingan rakyat dan negara.
Katanya, beliau akan berusaha gigih membantu Perdana Menteri mengikut tanggungjawab dan arahan yang akan diberikan.
“Usaha yang paling utama dan penting kini adalah penyelesaian kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang menjejaskan rakyat dengan segera dan efisien.
“Semoga Allah SWT kurniakan rahmat dan perlindungan buat kesemua para pemimpin dan rakyat Malaysia. Kepada Allah kita berserah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Ahmad Faizal sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri.
Timbalan Presiden Bersatu yang juga bekas Menteri Besar Perak itu akan bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.











