PETALING JAYA: Pertemuan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya dibuat atas kapasiti peribadi dan persahabatan yang terjalin sebelum ini.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal berkata, pertemuan tersebut dibuat dengan mengetepikan permusuhan politik dan membawa semangat penyatuan anak muda untuk membina semula negara secara bersama.
Sehubungan itu, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dilontarkan Syed Saddiq kononnya memujuknya kembali menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya anggap Syed Saddiq sebagai sahabat, adik dan rakan seperjuangan. Idea yang dibawakan adalah mengetepikan perseturuan politik untuk bina semula negara secara bersama.
“Saya menafikan sekerasnya sebarang tohmahan yang telah dilontarkan kepada saya. Saya tidak membuat apa-apa tawaran atau ugutan. Ini tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Syed Saddiq sebelum ini mendakwa beliau didatangi Wan Ahmad Faysal sehari sebelum pendakwaan terhadapnya dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu.
Kehadiran itu bertujuan memujuknya agar kembali menyatakan sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Faysal berkata, dakwaan bahawa kes mahkamah sedang dihadapi Syed Saddiq telah direka tidak berasas kerana laporan polis yang membawa kepada kes ini dibuat beliau sendiri.
“Sekiranya beliau yakin bahawa beliau tidak bersalah, mahkamah adalah forum terbaik untuk membuktikann kebenaran ini. Kami akan sentiasa mendoakan yang terbaik dan semoga maju jaya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











