AR-RAUDHAH
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan saudara-mara Yusuf datang ke Mesir lalu mereka masuk ke (tempatnya), Maka Yusuf mengenali mereka, sedang mereka tidak mengenalinya lagi. (Yusuf: 58)
Ayat ini menceritakan tentang kedatangan adik beradik Nabi Yusuf a.s ke Mesir untuk mencari bahan makanan setelah mengalami tempoh masa yang sangat sulit. Ia ekoran terputusnya bekalan makanan di negeri mereka dan setelah mereka mengetahui bahawa penguasa Mesir ketika itu akan memberi makanan secukupnya kepada sesiapa yang datang meminta.
Pada masa itu, penguasa yang mengurus perbendaharaan Mesir adalah Nabi Yusuf. Beliau masih mengenali adik-beradiknya sedangkan mereka tidak lagi mengenali beliau.
Sebabnya mereka tidak pernah bersangka saudara mereka Yusuf akan mendapat kedudukan yang terhormat seperti itu.
Setelah Nabi Yusuf memberikan adik-beradiknya bahan makanan seperti gandum dan lain-lain, beliau bertanya kepada mereka tentang keadaan dan jumlah adik-beradik mereka.
Mereka menjawab semunya 12 orang tetapi salah seorang dari kami sudah tidak ada (Nabi Yusuf), yang tinggal hanya saudara kandungnya yang selalu bersama ayah kami.
Yang dimaksudkan oleh mereka saudara kandung tersebut adalah adik kandung seibu sebapa dengan Nabi Yusuf iaitu Bunyamin. Manakala adik-beradik yang lain hanya sebapa dengan Nabi Yusuf.
Lantas Nabi Yusuf berpesan kepada mereka seperti yang difirmankan Allah yang bermaksud: Jika kamu datang tahun depan, maka ajaklah saudara kamu tersebut (Bunyamin). (Yusuf: 59)
Bahkan Nabi Yusuf memberi ancaman kepada mereka jika tidak membawa saudara mereka seorang lagi (Bunyamin) pada tahun depan, maka beliau tidak akan memberi makanan lagi dan tidak akan menyambut kedatangan mereka dengan baik seperti kali ini.
Demikian usaha keras Nabi Yusuf agar dapat melepaskan rindu bertemu dengan adik kandungnya, Bunyamin.
Setelah adik-beradiknya kembali ke pangkuan ayah mereka, Nabi Yaakub, mereka berkata seperti yang tercatat dalam al-Quran: Wahai ayah kami, kami tidak akan mendapat sukatan (gandum) lagi, jika tidak membawa saudara kami, Oleh itu hantarkanlah dia (Bunyamin) bersama kami supaya kami dapat lagi bekalan makanan dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan baik. (Yusuf: 63)
Pada awalnya Nabi Yaakub enggan menghantar Bunyamin bersama anak-anaknya yang lain. Ini kerana beliau sangat sayangkan Bunyamin.
Dialah yang menjadi hiburan kepada beliau dan daripada Bunyaminlah beliau dapat mencium bau putera kesayangan beliau yang sudah lama berpisah, iaitu Yusuf.
Setelah dipujuk oleh anak-anak yang lain dan kerana keperluan keluarganya terhadap bahan makanan, akhirnya Nabi Yaakub mengizinkan Bunyamin dibawa bersama. Namun, dengan diambil janji atas nama Allah dari anak-anaknya supaya membawanya kembali dengan selamat.
MASUKKAN TIMBANGAN
Tahun hadapannya, mereka sekali lagi ke Mesir berjumpa Nabi Yusuf untuk mendapatkan bahan makanan. Nabi Yusuf mencari jalan supaya dapat mengambil Bunyamin daripada mereka dan tinggal bersamanya.
Beliau menyuruh pekerja istana memasukkan alat takaran (timbangan) ke dalam karung Bunyamin dan dengan itu Bunyamin akan dituduh mencuri takaran istana yang menyebabkan dia akan dihukum menjadi tebusan.
Semua ini dilakukan oleh Nabi Yusuf berdasarkan perintah Allah SWT kerana dengan kronologi peristiwa penahanan Bunyamin terkandung dua hikmah yang besar iaitu bertaubatnya adik-beradik Nabi Yusuf dan berkumpul semula dengan ayahnya, Nabi Yaakub setelah lama berpisah.
Setelah penahanan Bunyamin di istana Mesir, adik-beradik Nabi Yusuf pulang ke pangkuan bapa mereka dan menceritakan apa yang berlaku.
Nabi Yaakub mengatakan bahawa Bunyamin tidak mungkin mencuri seperti mana yang didakwa kerana dia adalah seorang anak yang mulia.
Nabi Yaakub berdoa kepada Allah supaya dikembalikan kedua-dua putera kesayangannya ke pangkuannya. Kesedihan Nabi Yaakub makin bertambah dan sentiasa menangis sehingga kedua matanya menjadi putih dan tidak mampu melihat.
Anak-anak Nabi Yaakub berusaha pergi semula ke Mesir untuk mendapatkan Bunyamin tetapi kali ini Nabi Yusuf memperkenalkan dirinya kepada adik-beradiknya.
Baginda berlemah lembut kepada mereka dengan mengatakan aku adalah Yusuf yang dulu pernah kamu menzalimi aku.
Nabi Yusuf tidak sedikit pun mencela atau mencaci mereka. Bahkan mendoakan mereka dengan kebaikan. Keadaan sedih Nabi Yaakub dan sifat kelembutan serta pemaafnya Nabi Yusuf menjadi sebab adik-beradiknya bertaubat atas dosa kezaliman yang dilakukan sebelum ini.
Demikian besarnya pengajaran daripada sikap toleransi dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf yang perlu dijadikan sebagai contoh dalam setiap keluarga.
Memaafkan kesalahan adik-beradik, sentiasa mendoakan kebaikan buat mereka dan saling berkasih sayang adalah asas kepada kebahagian sesebuah keluarga besar.
Tidak ada kebaikan yang lebih besar daripada kebaikan yang dilakukan oleh seseorang kepada ahli keluarganya sendiri sama ada kepada ibu bapanya, anak-anaknya mahupun kepada adik-beradiknya.
Orang beriman sentiasa menginginkan keluarga yang dikurniakan oleh Allah SWT di dunia akan berkekalan hingga ke syurga.
Dalam zaman serba canggih ini kita boleh melihat betapa banyaknya pertelingkahan sesama adik-beradik dan ahli keluarga yang berlaku hanya kerana masalah remeh seperti silap faham dan pertelingkahan di Whatsapp Group keluarga.
Janganlah memutuskan silaturahim sesama ahli keluarga dengan apa pun alasan. Sebabnya, ia adalah kurniaan Allah SWT yang sangat berharga yang perlu dijaga dengan baik.

- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah









