Anda suka makan sambal ikan bilis garing tetapi sukar untuk mendapatkannya ketika ini? Apa kata anda cuba buat sendiri sambal ikan bilis garing ini. Bahan-bahan untuk membuat sambal ikan bilis garing mudah di dapati. Cara membuatnya juga tidak sukar seperti yang disangka.
Syarah Amanina Mazlan yang berkongsi resipi sambal bilis rangup memberitahu, bagi memastikan ikan bilis yang digoreng itu garing, apa yang perlu anda buat adalah basuh ikan bilis itu hanya sekali sahaja.
Selepas itu toskan ikan bilis bagi membuang air yang ada. Setelah semua itu selesai, barulah goreng ikan bilis itu di dalam minyak yang panas sehingga garing. Goreng sehingga bunyi meletup, barulah ikan bilis itu diangkat.
Begitu juga dengan cili kering. Basuh cili kering untuk menghilangkan debu yang melekat. Selepas itu tos air dengan segera agar cili tidak basah semasa digoreng. Cara ini akan membuatkan cili garing selepas digoreng. Selamat mencuba.
Sambal ikan bilis garing
Bahan-bahan:
½ kg Ikan bilis mata biru – dikopek
2 genggam cili kering India – dipotong dan dibuang biji
1 keping kiub pati ikan bilis Maggi
Garam dan gula secukup rasa
Bawang goreng
Minyak untuk menggoreng
Cara penyediaan:
1-Basuh ikan bilis sekali sahaja. Toskan airnya. Selepas itu goreng ikan bilis dalam minyak yang panas sehingga kelihatan garing dan rangup.
2-Selepas goreng ikan bilis, buang minyak yang ada. Hanya tinggalkan sedikit sahaja di dalam kuali untuk menggoreng cili kering pula.
3-Ambil cili, potong dan buang bijinya. Basuh dengan air dan toskan. Selepas itu goreng cili kering sehingga garing.
4-Selepas cili siap digoreng, masukkan ke dalam pengisar. Masukkan kiub pati ikan bilis Maggi. Kemudian kisar cili sehingga hancur. Kisar kering sahaja.
5-Setelah siap dikisar, masukkan cili kisar itu ke dalam kuali. Pastikan kuali itu kering dan tidak ada minyak.
6-Ambil ikan bilis garing tadi, masukkan ke dalam kuali berisi cili kisar. Gaulkan kedua-duanya sehingga sekata.
7-Masukkan garam dan gula secukup rasa ke dalam sambal garing ikan bilis ini. Hendak tambah sedap lagi, tambah bawang goreng.
8-Sambal ikan bilis garing siap dan boleh dimakan.
Terima kasih: Syarah Amanina Mazlan
Facebook: Syarah Amanina /https://www.facebook.com/groups/1399614277028551/user/100053587661075










