PETALING JAYA: Usahawan dan pempengaruh, Carl Samsudin yang mengaibkan seorang warga emas baru-baru ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Carl menerusi satu perkongsian di Instagram memberitahu hanya ingin membantu golongan memerlukan dan tidak berniat memalukan sesiapa.
“Saya tidak pernah berniat ingin menghina sesiapa terutama pakcik tersebut. Selama saya hidup, tidak pernah saya berlaku biadap kepada sesiapa terutama warga tua. Saya sedaya upaya menghormati semua golongan.
“Jika ketika petikan video itu dirakam kelihatan seperti saya tidak beradab dengan pakcik tersebut, saya betul-betul mohon maaf,” tulisnya.
Selain itu, Carl juga memaklumkan akan bertemu pakcik berkenaan untuk memohon maaf dan memperbertulkan kesilapannya.
Pada masa yang sama, dia turut memohon maaf atas kecuaiannya yang tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan sumbangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur itu.
Usahawan muda ini menjadi tular baru-baru ini setelah dirakam mengherdik seorang warga emas ketika menyampaikan sumbangan di pusat transit tersebut.
Tindakan memakan dirinya itu mengundang kemarahan ramai pihak yang rata-rata bersimpati dengan pakcik berkenaan.










