‘Sampai bila kami nak tunggu vaksin?’ - Utusan Malaysia

‘Sampai bila kami nak tunggu vaksin?’

ORANG awam mendapatkan vaksin dalam Program Vaksinasi Bergerak anjuran Wilayah Prihatin di PPR Perkasa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.- GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 7.7 juta daripada keseluruhan 20.1 juta atau 61.7 peratus rakyat negara ini yang telah berdaftar dengan aplikasi MySejahtera setakat Isnin lalu masih belum menerima suntikan vaksin

Ini bermakna setakat ini ha­nya 12.4 juta orang yang te­lah menerima satu atau dua dos suntikan vaksin yang di­umumkan kerajaan semalam, se­kali gus mengundang tanda tanya war­ga­negara yang belum mendapat tarikh janji temu apakah status mereka sehingga hari ini.

Membangkitkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, penasihat jualan Proton, Ahmad Saiful Farisin Shariffuddin, 28, berkata, setiap hari dia menan­tikan kha­bar untuk janji te­mu suntikan vaksin namun hampa.

Katanya, dia yang menghidap asma mendaftar di MySejahtera pada Mac lalu namun sehingga kini tiada menerima sebarang panggilan.

“Saya mendaftar Mac lalu bermakna kini sudah lebih lima bulan dan saya agak risau sebab adik beradik saya semuanya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala emak saya sudah lengkap dua dos.

“Hari-hari saya kemas kini MySejahtera selain ada mendaftar dalam laman web tetapi jawapannya masih sama, tiada temu janji.

“Ini benar-benar membimbangkan saya sebab kerja saya memerlukan berjumpa dengan ramai orang, kalau sudah dibenarkan bekerja semula nanti macam mana?,” katanya.

Ahmad Saiful berharap da­pat segera menerima vaksin atas faktor kesihatan memandangkan dia menghidap asma dan merupakan golongan berisiko.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) Khairy Jamaluddin dalam sidang Dewan Rakyat memberi­tahu hampir 13 juta penduduk negara ini atau 38.2 peratus keseluruhan populasi telah menerima sekurang-kurang­nya satu dos vaksin.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 5.9 juta atau 18.1 peratus mendapat dos lengkap vaksin.

Kata Khairy, ini bermakna sebanyak 18.4 juta dos vaksin yang sudah diberi kepada rakyat.

Sebanyak 53.3 peratus orang dewasa daripada keseluruhan populasi rakyat pula sudah menerima satu dos vaksin.

Dalam pada itu, Nurul Huda Rusli, 31, turut meluahkan kebimbangan kepada akhbar ini kerana belum menerima vaksin, sekali gus menyebabkan dia berasa was-was ketika berada di luar rumah.

Ibu kepada dua cahaya mata itu yang turut menghidap asma berkata, dia risau keadaan ke­selamatan ibunya yang berusia 60 tahun serta anak-anaknya yang masih kecil.

“Saya telah mendaftar untuk menerima vaksin pada Mei lalu dan masih belum me­nerima apa-apa perkembangan sehingga hari ini.

“Apa lagi saya yang keluar membeli barang dapur, kalau boleh memang harap sangat segera dipanggil untuk me­nerima vaksin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×