Jumlah dagangan Jun 2021 berkembang 29.3 peratus kepada RM188.7 bilion - Utusan Malaysia

Jumlah dagangan Jun 2021 berkembang 29.3 peratus kepada RM188.7 bilion

MALAYSIA terus merekodkan jumlah dagangan yang positif di sebalik penularan pandemik Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia pada Jun lalu berkembang 29.3 peratus kepada RM188.7 bilion, mengekalkan momentum selama tujuh bulan berturut-turut, tahun ke tahun selari dengan prestasi dagangan global.

Menurut Jabatan Perangkaan, dalam tempoh tersebut, eksport negara meningkat 27.2 peratus, sementara import tumbuh 32.1 peratus.

“Berikutan itu, lebihan dagangan mencecah RM22.2 bilion, meningkat 11.7 peratus,” katanya dalam Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negara Malaysia, Jun 2021 hari ini.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan eksport pada Jun lalu selari dengan pemulihan ekonomi global.

Beliau berkata, pembukaan aktiviti ekonomi di luar negara menandakan permintaan luaran yang lebih baik.

Katanya, eksport Malaysia meningkat 27.2 peratus didorong oleh eksport domestik dan eksport semula.

“Eksport domestik bernilai RM84.7 bilion menyumbang 80.3 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 21 peratus tahun ke tahun.

“Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM20.8 bilion, meingkat 61.2 peratus. Import pada Jun berjumlah RM83.2 bilion, naik 32.1 peratus berbanding Jun 2020, melebihi pertumbuhan eksport bagi dua bulan berturut-turut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Uzir berkata, selaras dengan pertumbuhan tahunan, 144 daripada 254 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, manakala import pula, 200 daripada 257 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

Beliau berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutama eksport lebih tinggi ke Amerika Syarikat (RM3.1 bilion), China (RM2.7 bilion), India (RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (RM1.7 bilion), Singapura (RM1.7 bilion) dan Australia (RM1.4 bilion).

“Sementara itu, China terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan import sebanyak RM6.1 bilion, diikuti Indonesia (RM2.4 bilion), Korea (RM2.1 bilion), Kesatuan Eropah (RM2 bilion), Jepun (RM1.4 bilion) dan Taiwan (RM1.3 bilion),” katanya.

Beliau menjelaskan, peningkatan eksport didorong antaranya oleh keluaran petroleum (RM5.1 bilion), barangan elektrik dan elektronik (RM4.6 bilion), keluaran getah (RM3.7 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (RM2.4 bilion), kimia dan bahan kimia (RM2.3 bilion).

Sementara kenaikan import pula dicatatkan antaranya bagi keluaran petroleum (RM4.5 bilion), barangan elektrik dana leketronik RM3.6 bilion), kimia dan bahan kimia (RM2.9 bilion), barangan perkilangan logam (RM1.6 bilion), katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×