SME Bank XCESS platform bantu PKS pulih perniagaan - Utusan Malaysia

SME Bank XCESS platform bantu PKS pulih perniagaan

SME Bank XCESS merupakan inisiatif utama SME Bank dalam menyokong usaha kerajaan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan pembangunan sektor PKS negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 1,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (KPK), berpeluang memulihkan perniagaan melalui Program SME Bank XCESS 2021.

Program itu yang julung kali diadakan secara maya, merupakan platform padanan perniagaan peringkat terbesar anjuran SME Bank.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program berkenaan adalah `flagship program’ yang dianjurkan oleh SME Bank dalam memenuhi peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang bukan sahaja menyediakan pembiayaan, tetapi juga melaksanakan pelbagai inisiatif melangkaui pembiayaan (beyond financing).

“Saya melihat Program SME Bank XCESS ini sebagai satu inisiatif utama SME Bank dalam menyokong usaha kerajaan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan pembangunan sektor PKS negara,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran secara maya program berkenaan.

ARIA PUTERA ISMAIL

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putra Ismail berkata, SME Bank XCESS 2021 berubah secara keseluruhannya daripada apa yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Beliau berkata, konsep `beyond financing’ kali ini diterjemahkan melalui empat teras utama iaitu padanan perniagaan (business matching), program pembangunan vendor, program umbrella dan ekuiti pembiayaan/ekuiti persendirian.

“Sebanyak 20 syarikat anchor turut terlibat dalam program ini sebagai rakan strategik kami.

“Kami mensasarkan seramai 20 usahawan akan berjaya dipadankan dengan syarikat anchor melalui Program SME Bank XCESS 2021 ini. Kami percaya sekiranya sasaran ini dapat dicapai ianya akan memberi impak yang besar kepada eko-sistem perniagaan syarikat-syarikat tersebut,” katanya.

Antara 20 syarikat anchor itu ialah AEON, Lulu Hypermarket dan Lesong Mart untuk padanan perniagaan; manakala Ramly Food Processing, KARA Holdings (Ayamas) (program umbrella).

Sementara itu, untuk program pembangunan vendor pula, syarikat terlibat termasuk Pharmaniaga, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sime Darby Property, Malaysia Airlines, Telekom Malaysia, Boustead Heavy Industries, Duopharma Biotech, Celcom Axiata, UMW Corporation dan UEM Edgenta.

Bagi pembiayaan ekuiti dan ekuiti persendirian pula antaranya Pernas, MTDC< Mavcap, Malaysia Debt Ventures dan AEON Credit Services yang menawarkan alternatif kepada pembiayaan seperti geran dan pelaburan.

“SME Bank yakin objektif penganjuran SME Bank XCESS 2021 iaitu meluaskan pasaran, memberi akses pembiayaan dan menyampaikan maklumat terkini mengenai produk dan
perkhidmatan untuk usahawan PKS akan dapat dicapai melihat kepada sambutan yang diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×