
Krisis pandemik yang berlanjutan ini sememangnya menjadi cabaran besar kepada masyarakat dan negara. Dari aspek ekonomi, ia turut memberi kesan terhadap sektor perniagaan. Walaupun pelbagai inisiatif telah diketengahkan bagi merangsang pengukuhan ekonomi, ia tetap menjadi cabaran kepada sektor perniagaan untuk terus berdaya saing di pasaran.
Pemasaran adalah landasan penting dalam membina kekuatan perniagaan. Strategi pemasaran juga perlu terus dipergiatkan lagi dengan elemen periklanan dan promosi secara lebih kreatif dan konsisten dalam memperkukuhkan hubungan pelanggan di samping meneroka potensi pasaran baharu.
Antara inisiatif pilihan perniagaan terutamanya usahawan dalam talian dan peniaga mikro adalah dengan melaksanakan strategi pemasaran tanpa kos. Oleh itu, terdapat beberapa elemen yang boleh dipraktikkan dalam usaha mendepani cabaran krisis pandemik ini.
MEMBINA CORONG JUALAN
Rangkaian media sosial peribadi merupakan platform strategik untuk memulakan pemasaran tanpa kos di samping memperkukuh kredibiliti digital. Para peniaga boleh manfaatkan potensi media sosial seperti Facebook, Instagram, Linkedin, Twitter, TikTok atau YouTube sebagai corong jualan dalam membina pelanggan dan menjangkau prospek pasaran baharu.
Memanfaatkan potensi media sosial peribadi sebagai corong jualan juga memerlukan komitmen masa, idea dan kreativiti. Sebagai peniaga, anda perlu memahami perbezaan antara teknik Penceritaan dan Naskah Iklan sebagai pengisian untuk menarik minat dan penglibatan interaksi rakan media sosial.
Status Penceritaan turut dikenali sebagai Storytelling. Ia merupakan teknik Soft Selling, iaitu format penulisan atau video yang bersifat tidak menjual, namun mampu menarik minat audiens melalui perkongsian informasi, tips serta jurnal pengalaman yang relevan dengan perniagaan.
Manakala Naskah Iklan atau Copywriting adalah kaedah Hardselling, iaitu status iklan atau promosi yang menjurus kepada menjual. Teknik ini tidak digalakkan secara kerap kerana audiens media sosial pada kebiasaannya kurang berminat dengan status menjual. Namun ia boleh dipraktikkan mengikut situasi serta kesesuaian hubungan rakan di media sosial.
Peniaga perlu bijak memanfaatkan kedua-dua teknik ini dalam menjana prospek dan pelanggan. Selain itu, pastikan anda membalas komen dan aktif berkomentar pada status rakan-rakan bagi membina perhubungan dua hala yang lebih efektif.
MANFAATKAN KOMUNIKASI DIGITAL
Integrasi platform komunikasi seperti Whatsapp dan Telegram turut membantu dalam membina pelanggan melalui kaedah Penceritaan dan Naskah Iklan. Memanfaatkan kemudahan Status, Blast dan Group terbukti membantu ramai usahawan menjana pelanggan dengan baik.
Anda juga boleh mensasarkan fokus pasaran dengan menubuhkan Whatsapp Group bersama pelanggan setia atau menyertai kumpulan komuniti setempat bagi mempekukuhkan lagi lokaliti pasaran setempat. Ia turut membantu sebagai salah satu sumber menjana pelanggan di samping membina pengkalan data bagi memperkukuh hubungan pasaran dan prospek perniagaan.
SIARAN VIDEO SECARA LANGSUNG
Kini, semakin ramai peniaga yang mula terlibat dalam menyiarkan kandungan video secara langsung dalam menyokong pengukuhan perniagaan dan menjana pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan yang dipasarkan. Inisiatif Facebook Live dan Instagram Live menjadi pilihan yang berpotensi atas kemampuannya menarik audiens dengan berkesan.
Siaran video secara langsung juga menjadi landasan kepada usahawan dan peniaga, malah para profesional dalam membina reputasi dan kredibiliti pasaran melalui pendekatan yang lebih personal. Kandungan tersebut juga mudah disebarkan dan diulang siar di platform media sosial serta saluran komunikasi digital dalam usaha meluaskan capaian pasaran.
Justeru itu, memanfaatkan strategi asas pemasaran digital tanpa kos merupakan sebahagian wadah yang patut dimanfaatkan oleh peniaga dalam menambahbaik inisiatif keusahawanan dan meluaskan lagi potensi pasaran untuk pengukuhan jangka panjang perniagaan pada era digital kini.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN











