KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,000 doktor lantikan kontrak yang berkhidmat di hospital-hospital seluruh negara tetap meneruskan mogok seperti dirancang hari ini.
Mereka akan berhimpun beramai-ramai dan memegang plakad serta mengambil video untuk dimuat naik ke media sosial di 24 buah hospital yang dirancang di seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, pihak-nya tetap meneruskan mogok itu seperti yang dirancang dan dimaklumkan sebelum ini walaupun kes jangkitan pandemik Covid-19 semakin meningkat.
“Mogok diteruskan seperti mana yang kita maklum pada sidang media sebelum ini.
“Seramai 1,000 hingga 2,000 doktor kontrak yang mengisi borang untuk turut serta. Secara kasarnya, 100 hingga 200 doktor kontrak bagi setiap hospital,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam laporan Utusan Malaysia kelmarin, gerakan itu menyifatkan kerajaan hanya bertindak ibarat memberi ‘gula-gula’ untuk mendiamkan doktor lantikan kontrak daripada meneruskan mogok yang dirancang.
Penambahbaikan faedah dan lanjutan tempoh perkhidmatan mereka bukan jalan penyelesaian terbaik khususnya untuk jangka masa panjang memandangkan negara masih kekurangan tenaga kerja perubatan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.
Menerusi kenyataan baru-baru ini, kumpulan doktor terbabit akan bergerak keluar secara beramai-ramai sebagai tanda tunjuk perasaan dari pusat kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan di seluruh negara pada pukul 11 pagi hari ini.
Jelas kenyataan itu, pergerakan tersebut dilakukan berdasarkan tiga keadaan iaitu kategori tidak kritikal yang menuntut doktor kontrak berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di lobi hospital masing-masing dan bergerak keluar secara besar-besaran melalui pintu utama.
“Bagi situasi di unit rawatan kritikal seperti Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Unit Rawatan Koronari (CCU) , Wad Kebergantungan Tinggi (HDW) dan Wad Rehabilitasi Koronari (CRW), pergerakan keluar tepat pada waktu itu hanya akan dilakukan selepas passover kepada doktor tetap yang bertugas pada hari berkenaan.
“Bagi pasukan Covid-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan hospital daerah, digalakkan hanya untuk melakukan solidariti dengan memegang plakad dan mengambil video untuk dimuat naik ke media sosial pada masa yang dijadualkan,” kata kenyataan itu.
Dilaporkan, sebanyak 24 hospital di seluruh negara dijangka menjadi pusat kepada gerakan hartal itu, antaranya Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah; Hospital Pulau Pinang, Pulau Pinang; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang; Hospital Sultan Ismail, Johor; Hospital Tawau, Sabah Hospital Sultanah Aminah, Johor; Hospital Melaka; Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Putrajaya. – UTUSAN










