Parlimen bersidang - Utusan Malaysia

Parlimen bersidang

AHLI Parlimen UMNO masih berada di blok kerajaan..
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sidang khas Dewan Rakyat bermula hari ini ketika angka jangkitan Covid-19 melepasi sejuta kes dengan 7,994 kematian setakat semalam yang turut merekodkan jangkitan ter­tinggi baharu iaitu 17,045 kes.

Dalam tempoh 18 bulan pandemik Covid-19 menular di ne­ga­ra ini sejak 25 Januari tahun lalu, laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendedahkan Malaysia kini pada kedudukan ke-31 dunia dari segi kes jangkitan keseluruhan tertinggi.

Pelbagai inisiatif dilakukan ke­rajaan, antaranya mengisytiharkan Proklamasi Darurat di samping tiga siri pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekatan pergerakan penuh (lockdown) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun kes positif jangkitan harian tetap meningkat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, sidang parlimen yang berlangsung pada pagi ini dipantau rapi oleh pihak berkuasa Parlimen dan Ahli Parlimen yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau yang turut bimbang dengan peningkatan mendadak kes kebelakangan ini berkata, semua ahli Parlimen perlu meminimumkan kehadiran pengiring masing-masing kerana pembentangan boleh diikuti secara dalam talian melalui saluran disediakan.

“Pihak keselamatan akan menjaga dan mengawal kemasu­kan yang hadir. Mereka yang cuba datang tanpa kebenaran, pihak pengawal keselamatan Parlimen akan menahan mereka di pintu pagar masuk.

“Saya sendiri negatif Co­vid-19. Tetapi, bila disebut-sebut kononnya positif, ia menyusahkan saya sehingga ada beberapa program yang dibatalkan sebab mendengar saya ini (kononnya) positif.

“Jadi, selamat atau tidak (sidang Dewan Rakyat) bergantung kepada empunya diri menjaga SOP. Kebimbangan yang saya alami ini saya kongsi supaya setiap ahli Parlimen ada kewaspadaan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sidang khas Parlimen selama lima hari bermula hari ini, pertama kali semenjak Proklamasi Darurat diisytiharkan pada Januari lalu diadakan untuk kerajaan membentangkan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan darurat seper­ti yang dikehendaki Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut Peraturan Am 11(3), Perdana Menteri menetapkan Aturan Urusan Mesyua­rat yang hanya akan melibatkan:

a) Pembentangan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat.

b) Pembentangan Proklamasi Darurat (2) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik serta Pembentangan Proklamasi Da­rurat (3) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Kecil N66 Bugaya, Sabah.

c) Penerangan menteri-menteri di bawah Peraturan Am 14(1)(i).

Ahli-ahli Dewan boleh bertanyakan soalan hanya selepas menteri selesai setiap sesi pene­rangan dan terhad kepada isu yang merangkumi penerangan menteri.

Tambah Mohd. Rashid, setakat semalam, jumlah mereka yang positif Covid-19 termasuk kontak rapat yang dikaitkan dengan kehadiran ke Parlimen hari ini, dianggarkan lebih 30 orang.

Mengesahkan laporan jumlah kes berkenaan, Mohd. Rashid pada masa sama turut mengingatkan semua ahli Parlimen menjaga penjarakan fizikal serta sentiasa memakai pelitup muka tidak kira di mana-mana kawasan yang dibenarkan pergerakan mereka dalam bangunan Parlimen.

“Saya minta semua ahli Parlimen pastikan mereka ada keputusan Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang telah diaturkan oleh pentadbiran Parlimen sendiri. Selain itu, pihak Parlimen juga telah mengeluarkan satu garis panduan kepada pengiring-pengiring menteri, timbalan menteri dan ahli parlimen untuk pastikan supaya tidak membawa pengiring lebih dari jumlah yang ditetapkan.

“Kalau boleh, bawa jumlah pengiring yang paling minimum, itu lebih baik,” katanya.

Tambah beliau, buat masa ini kesemua ahli Parlimen dibenarkan masuk untuk hadir pada sesi persidangan khas Dewan Rakyat selama lima hari ini minggu ini dan tiada had yang diletakkan kecuali mereka yang bergejala Covid-19.

“Ia adalah keputusan Jawatankuasa Dewan yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. Kementerian Kesihatan telah membenarkan kesemua ahli Parlimen masuk bersidang.

“Tetapi, kalau sudah cukup kuorum 26 orang, bermakna persidangan boleh dimulakan,” ujarnya lagi.

Mohd. Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat turut berharap agar persidangan khas Dewan Rakyat itu berjalan dengan baik meskipun dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Ia tetap diteruskan demi kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×