PETALING JAYA: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) mengesyorkan kerajaan mempertimbangkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) menerusi peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila satu pertiga daripada rakyat Malaysia telah divaksinasi sekurang-kurangnya satu dos.
Ia penting agar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang teruk terkesan dengan penutupan serta had waktu operasi, dapat terus bertahan.
Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan Samenta, Datuk William Ng berkata, peralihan fasa dan kelonggaran SOP terutamanya dalam sektor ekonomi sangat diperlukan kerana dalam tempoh ini, hampir satu per empat PKS terpaksa menutup perniagaan mereka.
Beliau menjelaskan, keadaan ini dikhuatiri akan lebih memburuk kerana Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) juga meramalkan satu daripada dua PKS akan gulung tikar menjelang Oktober sekiranya kerajaan masih meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Seperti apa yang berlaku sekarang, kita dapat lihat ramai pemilik PKS terutamanya suami isteri yang menjadikan perniagaan sebagai satu-satunya punca pendapatan mereka sudah berada dalam keadaan terdesak.
“Jika anda mengunjungi laman web jual beli mudah.my atau Facebook, anda dapat lihat ramai pemilik PKS yang mengiklankan untuk menjual aset mereka yang masih ada antaranya kereta, barang kemas dan peralatan dapur. Itu sahaja jalan yang ada supaya mereka dapat terus bertahan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Justeru, beliau menegaskan, kerajaan harus membenarkan pembukaan sektor ekonomi dengan SOP yang ketat secepat mungkin.
“Kerajaan perlu benarkan 50 peratus tenaga kerja dan 50 peratus pelanggan untuk berada di dalam premis pada satu masa. Kami tiada masalah jika pihak berkuasa melakukan pemantauan SOP yang teliti dan jika dikesan terdapat pelanggaran SOP, mereka boleh memerintahkan perniagaan tersebut ditutup selama dua minggu.
“Kita mesti menang dan melawan wabak Covid-19 ini bersama-sama namun pada masa yang sama, kita tidak boleh mengetepikan kepentingan ekonomi untuk terus hidup,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pakar virologi berpendapat kelonggaran SOP buat penerima dua dos vaksin Covid-19 perlu ditangguhkan sehingga 50 peratus daripada penduduk negara ini berjaya melengkapkan suntikan tersebut.
Ini kerana dengan jangkitan harian masih melebihi lima angka dan ditambah dengan kemunculan varian-varian bahaya terutama Delta, langkah memberi keistimewaan buat rakyat yang sudah lengkap divaksin belum masa.
Kerajaan perlu menilai secara menyeluruh dan tidak hanya untuk `menggembirakan’ kumpulan yang lengkap divaksinasi kerana padahnya akan `dirasai’ semua rakyat. – UTUSAN










