Measat-3 bagai besi buruk hanyut di angkasa? - Utusan Malaysia

Measat-3 bagai besi buruk hanyut di angkasa?

Measat-3d dijangka bakal dilancarkan pada 2006.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 5.7 juta pelanggan Astro di negara ini dalam risiko apabila isyarat satelit Measat-3 dilaporkan sudah pun ditutup akibat insiden anomali pada 21 Jun lalu.

Sumber industri penyiaran tempatan memaklumkan kepada Utusan Malaysia, susulan perkembangan itu, gergasi penyiaran berkenaan terpaksa melakukan ‘migrasi’ ke lima satelit komunikasi lain.

“Measat-3 sebenarnya sudah pun dianggap usang sejak memasuki orbit pada 2007 dan ada laporan bebas menyatakan ia telah lama habis bekalan tenaga,” kata sumber ketika dihubungi.

Sumber itu memberitahu, keadaan itu menyebabkan kedudukan garis bujurnya beranjak jauh daripada sepatutnya 91.5 darjah Timur kepada 84.69 darjah Timur, mengakibatkan gangguan siaran yang berlaku sejak akhir bulan lepas.

Kelazimannya, jangka hayat ideal satelit bergantung kepada saiz dengan paling singkat hanya lima tahun dan maksimum 15 tahun sebelum hanyut terapung di angkasa sebagai besi buruk.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 24 Jun lalu mengesahkan masalah itu sebagai berpunca daripada isu posisi satelit tersebut yang bertukar arah.

Measat dalam kenyataan susulan pada 17 Julai lepas mengakui perkara itu bahkan alat pemancar atau transponder di Measat-3 telah dimatikan dan isyarat dialih ke satelit berhampiran.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, perubahan posisi Measat-3 kerana pelbagai faktor dan teori popular disebabkan impak sinaran kuat matahari atau tarikan graviti paksi bumi condong.

Justeru, ujarnya, cara agak selamat buat sementara waktu ialah menutup transponder iaitu alat penerima dan pemancar isyarat yang kemudian dipindahkan kepada satelit berhampiran satelite itu.

Sementara itu, Measat Global Berhad (Measat) memberi jaminan, jutaan pelanggan Astro bakal menikmati mutu siaran lebih baik tanpa gangguan mulai tahun depan.

Jurucakapnya, Shawna Felicia menerusi kenyataan secara e-mel kepada Utusan Malaysia memaklumkan, satelit baharu itu, Measat-3d juga menggantikan tugas Measat-3.

“Satelit ini paling besar dari segi saiz dalam sejarah Malaysia dan jauh lebih canggih berbanding model sebelum ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Felicia menjelaskan, Measat-3d akan dilancarkan ke orbit mengambil alih tempat Measat-3 di kedudukan 91.5 darjah Timur pada separuh pertama tahun depan kelak.

“Ia bakal menawarkan kapasiti jalur lebar berkelajuan tinggi mencecah 100 megabit per saat di kawasan liputan yang turut merangkumi keseluruhan rantau Asia Pasifik,” tambah beliau.

Satelit komunikasi baharu seberat 5,734 kilogram dengan jangka hayat 15 tahun dan dijana kuasa 12 kilowatt itu, dibina firma ternama, Airbus Defence and Space berpusat di Jerman.

Bagaimanapun, sementara menunggu Measat-3d dilancarkan dari French Guiana, siaran Astro ketika ini dipancarkan dari Measat-3a dan Measat 3b serta satelit lain yang ada berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×